Saturday, June 30, 2012

I'm blessed

Saya di antara yang bertuah. Saya tahu itu. Maka saya bersyukur kepada Allah atas kurniaan ini. Ramai yang tidak sedar bertapa bertuahnya mereka yang mudah memperoleh cahaya mata. Namun, masih lagi saya merasakan saya ini bertuah. Dua kali gagal IUI, percubaan IVF pertama saya berjaya. Syukran Ya Allah! Berkali- kali saya ditegur doktor dan jururawat mengatakan saya bertuah kerana percubaan ivf pertama ini berjaya. Nah! Nikmat apa lagi yang ingin engkau dustakan!


Jangan bersedih sekiranya kali ini kita gagal. Allah takkan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri mengubahnya. Begitulah kita, usahalah, cubalah, jangan putus asa. Jangan berundur sebelum berjuang. Jangan pasrah sebelum melakukan apa-apa. Memetik kata abah saya 'Dayus kita jika membiarkannya tanpa berusaha. Duit tu harta dunia, boleh diusahakan pelbagai cara. Selagi ada cara, cuba sahaja semua yang ada. Jangan esok bila tamat waktunya menyesal kerana tidak mencuba'


Everything happen for a reason.


Sedang saya menulis, mata saya menonton Giuliana & Bill di E! salah satu rancangan kegemaran saya. Melihat perjalanan rawatan IVFnya mengembalikan ingatan saya kepada pengalaman sendiri. Sungguhpun saya tidak sebertuah; owh suami G kacak dan kaya; atau dengan erti kata lain, 'sepenakut' G, 40 shots sepanjang rawatan IVF sememangnya meninggalkan kesan, bukan sahaja pada hati malah pada perut sendiri. Hampir tiada kawasan untuk dicucuk walaupun saya atur dan susun elok-elok setiap malam kawasan yang ingin dicucuk tetapi 40 shots (anggaran) bukanlah suatu bilangan yang sedikit. Kadang-kala pada masa yang sama ada 3 shots perlu dimasukkan ke dalam perut. Orang kata, alah bisa tegal biasa. Keazaman mengatasi segala.


Entri akan datang saya tunjukkan cara-cara saya susun dan cucuk ya!


I: Fikir-fikir semula ujian Allah pada saya ketika awal perkahwinan sehingga beberapa tahun selepas itu, kini saya sedar Allah menguji saya dengan seburuk perkara yang boleh berlaku kepada perkahwinan kerana Allah ingin saya bertahan dengan ujian yang lebih besar. 



Thursday, June 28, 2012

Hati-hati semasa memilih rawatan

Dalam determination kita untuk mencuba semua rawatan yang ada, kadang-kala kita perlu berhati-hati takut tersilap langkah dan akhirnya mempertaruhkan akidah dan keimanan kita kepada Allah S.W.T.


Saya pernah disyorkan mencuba rawatan alternatif beberapa pengamal perubatan tradisional. Seboleh-bolehnya kita tidak ingin mengecewakan dan mengecilkan hati rakan-rakan dan saudara-mara yang mengesyorkan tempat itu dan ini. Saya tanyakan dahulu, apa kaedah yang mereka gunakan? Apa yang perlu saya bawa? Apa pengerasnya? Kemudian barulah saya buat keputusan sama ada ingin pergi atau tidak.


Kalau disuruh membawa air mineral sahaja, dan pengamal perubatan alternatif adalah seorang ustaz, insyaAllah saya jejakkan kaki ke sana. Selebihnya, saya akan katakan kepada mereka 'insyaAllah, nanti saya pergi'. 


Namun begitu, pernah terjadi suatu ketika saya berjumpa seorang 'ustaz' yang pernah keluar di TV9 sebagai seorang pengamal perubatan Islam. Dengan susah payah saya dan seorang sahabat pergi ke tempat tinggalnya di Taman Dato' Harun semata-mata ingin berjumpa beliau. Ketika saya tiba, beliau tiada di rumah kerana sedang mengubatkan seseorang di luar kawasan. Saya, suami serta seorang sahabat yang senasib dengan saya dengan sabar menunggu beliau pulang. 


Sebelum bertemunya, saya disuruh membawa bersama 40 biji limau nipis, sebotol cuka dan 1 lagi bahan yang saya terlupa apakah dia. Persepsi pertama bertemunya, hati saya terdetik 'betul ke ni?'


Dengan usia yang saya kira dalam lingkungan 20-an, mungkin saya sedikit prejudis sekiranya saya menganggap ilmunya tak seberapa. Saya hapuskan buruk sangka , mungkin beliau memang berkemampuan mengubat pesakit. Kemudian, saya terganggu pula dengan keadaannya berpakaian. Jeans comot hampir terlondeh kerana tubuhnya yang besar dan berbaju t-shirt serta bersongkok haji. Saya sabarkan juga hati.


Saya dan suami serta sahabat tadi disuruh masuk ke bilik rawatan yang menempatkan sebuah tilam dan rak yang dipenuhi ubatan tradisional serta set-set bekam. Saya dan sahabat disuruh duduk berlunjur dengan tangan saya memegang bahu sahabat saya, serta tangan pengamal perubatan itu ditekan ke kepala sahabat saya. Ayat rukyah dibaca olehnya.


Sungguh, sepanjang bacaan ayat-ayat rukyah tersebut, hati saya tidak tenteram. Ingin saya tamatkan disitu juga sesi itu, bukan kerana sesuatu sedang merasuk saya, namun saya terkejut dengan bacaan tajwidnya. Maaf kiranya saya mengaibkan beliau. Tetapi itulah yang sebenarnya berlaku. Saya amat pasti bacaan surah lazimnya banyak silap di sana sini dan sebutan makhrajnya juga lari.


Sebaik tamat sesi, soalan diajukan kepada sahabat saya tadi. 'Puan rasa sakitkah? kalau sakit bermakna ada suatu gangguan di dalam tubuh puan.' Sahabat saya menjawab dengan lancar,'sakit..sakit sebab ustaz tekan kepala saya kuat sangat.' Saya dan sahabat serta suami saya turut tergelak dengan jawapan selamber itu.


Sebaik keluar dari rumah itu, jirannya melihat kami dengan 'suatu' bentuk pandangan yang sukar saya fahami.
Berjalan menuju ke kenderaan kami, sang sahabat akan bergerak pulang ke Klang manakala saya pulang ke rumah bersama suami. Soalan saya kepada sahabat tadi,


"Kak, akak percaya?"
...
"Entah. Macam berterabur je dia baca. Silap-silap jin pulak kena betulkan bacaan dia"


Jawapan sahabat itu membuatkan kami bertiga sama-sama ketawa. Keluar di kaca TV juga tidak membuatkan ustaz itu benar-benar sahih seorang 'ustaz' yang dapat membantu kita. Wallahualam.


I: Limau itu saya buat teh O ais limau, dan cuka itu hingga kini (3tahun berlalu) masih ada di dalam simpanan dan tidak digunakan. Sejak kejadian itu, lebih-lebih lagi saya berhati-hati memilih rawatan alternatif. Jangan mudah percaya perkara khurafat dan syirik. Khuatir boleh terbatal iman kita kepada Allah. Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada amalan-amalan atau kepercayaan yang membawa kepada murtad. Nauzubillah!

Tuesday, June 26, 2012

Kos rawatan IUI kali ke 2











Bil rawatan untuk IUI kali ke-2. Bilangan kunjungan ke LPPKN tidak seperti kali pertama kerana Doc.K sudah dapat mengagak tindak balas tubuh saya terhadap hormon kesuburan. Maka, Folliova terus diberi sebanyak 4 x suntikan. Tidak semestinya jika sahabat melalui prosedur ini akan melalui step yang sama. Setiap ubat dan kaedah rawatan adalah bergantung kepada case-study doktor masing-masing as well as their own preferences.

Sunday, June 24, 2012

Weekend activity #2

Breakfast lewat dengan menu 'ala cafe LPPKN Jalan Raja Laut'. Heh!
Western breakfast la pula hari ini. 

Baked bean berkurun dalam stok akhirnya terkorban ke dalam perut hari ini, tambah dengan scrambled egg dicampur italian herbs, pepper dan bawang cincang, roti bakar serta ketulan ayam goreng menggantikan sosej. Jam 9.00 pagi En.S masih berlingkar di temani si comel Antenna. Saya dah kentung-kentang di dapur, pun mereka masih tidak bangun-bangun lagi. Sebaik saya meletakkan hidangan di meja tiba-tiba muncul En. S dan Tena. 

Hari ini saya berhajat pergi ke pejabat untuk memindahkan semua barang-barang dari seat sekarang ke bilik baru yang lebih privacy. Menggantikan seorang rakan yang baru menerima tawaran berpindah membuka peluang saya duduk di bilik mempunyai tandas sendiri. Alhamdulillah. Semoga Allah permudahkan urusan hidup saya sepanjang kehamilan ini. Jika tidak, nun jauh di hujung ofis saya duduk. Terpaksa pula menapak ke tingkat 2 semata-mata untuk ke tandas, dan ke tingkat 3 untuk solat. Sudahlah, bilik dipenuhi dengan kaum Adam semata yang kadang-kala 'berasap'. Dengan kedudukan placenta/uri ke bawah, saya khuatir untuk bergerak 'lebih-lebih'. Spotting sebulan yang lalu masih menggegar jantung saya. Terbayang-bayang perkara yang buruk. Mujurlah selepas checkup tempoh hari, Doc. K menerangkan baby terlalu aktif menendang uri sendiri.Tengok Euro ke kat dalam tu sayang.. SubhanAllah! 

Makan lunch McD di luar berkongsi dengan En.S. Big Mac tingkat bawah untuk saya.konon romantik Air Iced Lemon Tea saiz Large menghilang dahaga. Sekarang saya tidak dapat makan dengan portion sebelum mengandung, terpaksa dikurangkan kerana kerap kali muntah semula. 

Petang pula, saya tergerak menyediakan puding roti Mak NaniRostam.Ibu HanisZalikha Sambil-sambil menyediakan hidangan makan malam, Pais Ikan Bawal dan Pelaling bersama sup sayur Siew Pak Choy dan Cendawan.


Penuh aktiviti hari ini, sedikit memenatkan namun sekurang-kurangnya menghilangkan kebosanan. Sudah 10 hari kembali ke rumah sendiri, suami tidak boleh dibiarkan 'berpantang' terlalu lama. Hampir 2 bulan duduk di kampung dijaga emak, saya pun sudah naik lemak hari-hari makan air tangan emak!


I: Saya berdoa supaya uri ini akan naik seiring dengan usia kandungan saya yang semakin bertambah. Tiba-tiba rasa 'nak menangis' bila suami kata tadi 'macam makcik Vietnam tanam sayur', Sampai hati! Gurauan melampau di saat isteri mengandung. 

Friday, June 22, 2012

Kos rawatan IUI

Selongkar-selongkar fail lama, terjumpa bil rawatan IUI kali pertama. Boleh la jadikan rujukan






















Sebab ada yang bertanya kos rawatan lama dahulu daripada 1st step HSG, saya pun hampir terlupa. Tapi usaha punya selongkar saya dapat serba sedikit resit-resit yang saya masih simpan.


HSG (Hydrosalpingogram) - untuk diagnos tiub fallopio dan keadaan rahim. 
Caranya: cecair contrast dipam masuk ke dalam faraj dengan keadaan anda berbaring. Kemudian, kawasan peranakan anda akan di x-ray maka cecair contrast tersebut akan menunjukkan sekiranya ada blocking atau tidak. Cecair ini turut berkemampuan untuk menghilangkan tiub-tiub yang tersumbat/blocking yang tidak kronik. 
KOS di Hospital Tawakal RM180 (setakat ini kos yang paling murah adalah di Hospital Tawakal. LPPKN tidak menyediakan perkhidmatan HSG ini, jadi anda akan di'refer' ke mana-mana hospital yang anda suka). Saya sempat survey di hospital swasta lain, kosnya boleh mencecah RM350.
Rahim anda akan sedikit tidak selesa semasa prosedur ini. Selesai X-ray, anda akan digolek ke kiri dan kanan untuk membiarkan cecair itu mengalir. Prosedur ini tak lama, lebih kurang 10 minit. Sebaiknya anda terus sahaja ke tandas selepas itu untuk mengeluarkan cecair yang tetinggal di dalam rahim anda. Ada yang mengalami 'bloated' selepas rawatan HSG. Jangan bimbang, ianya akan surut seperti biasa. 


SA (Sperm Analysis) di LPPKN : RM 50.00
SA tak sama seperti SST (Sperm Survival Test). SA adalah prosedur pertama yang dikenakan kepada suami untuk mengira bilangan sperm, saiz, aktif dan sebagainya. SST khas untuk prosedur IVF sahaja.


Saya dan suami juga pernah berjumpa dengan pakar sakit tuan , Dr. Ismail Thamby di LPPKN Shah Alam. Kos yang dikenakan;
RM5.00 untuk Fi Pendaftaran Seksualiti
RM20.00 untuk perundingan
Tanyalah apa sahaja kepada Dr.Ismail Thamby. Beliau akan menerangkan sejelas-jelasnya sehingga saya pula yang malu untuk mendengar di samping suami. 
Jika dahulu, LPPKN akan mengkhaskan setiap hari Rabu untuk hari sakit tuan di LPPKN Jalan Raja Laut, namun kini tiada lagi.

Perjalanan menggapai impian

Seingat saya, telah pelbagai cara dilakukan sebelum saya melalui prosedur IVF dalam menggapai impian memperolehi zuriat. Yang mana serba sedikit saya masih ingat, saya titipkan di sini. Mungkin ada di kalangan sahabat-sahabat yang pernah melakukan lebih daripada ini, maka bolehlah sama-sama kita kongsikan pengalaman kalian ya!


Sebelum didiagnos dengan masalah Hidrosalpinx, kebanyakan masanya saya mengambil makanan tambahan dari pelbagai jenama. Dari teknik penjagaan makanan dan kesihatan, urutan, dan akhirnya saya mencuba kaedah moden.


1. Biodex


Siapa tak kenal dengan supplement ini kan. Boleh dikatakan meluas rakan-rakan senasib memperkatakan tentang produk ini. Tak terkecuali pakcik makcik, jiran tetangga dan sahabat handai yang 'gatal mulut' menasihatkan kita mencuba produk ini kerana glamournya keluar di kaca TV. Saya sempat mengambil produk ini untuk tiga set. Setiap set untuk suami dan isteri kosnya kira-kira RM400 untuk 2 minggu. Saya berhenti mengambil produk ini apabila salah satu daripada lesen produknya ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Hairan bukan?


2. Dr. Philip Kohler/Michelle Lazar


Produk ini asalnya saya ambil bagi mengatasi masalah kulit muka yang semakin kusam, berjerawat dan meninggalkan parut. Ketika itu pula saya rasakan saya sanggup berhabis berapa sahaja kerana jiwa sedang rusuh diperlakukan suami. Saya menyangkakan Dr.Philip Kohler ini sememangnya seorang doktor pakar merawat kulit, rupa-rupanya ia merupakan satu jenama. Selain produk kulit, saya ditawarkan cecair supplement dengan 'gula-gula' bahawa kebanyakan masalah kesuburan dapat diatasi dengan produk minuman daripada jenama tersebut. Setelah menggunakan selama 6-8 bulan, saya berhenti mengambil kedua-dua produk kulit dan kesihatannya kerana merasakan tiada sebarang perubahan berlaku. Mungkin sedikit parut di wajah semakin pudar, tetapi kulit saya yang saya sendiri sedia maklum mudah imun pada setiap produk yg saya gunakan.


3. Jamu Makjun Anggun Bestari (MAB) Dan Makjun Unta untuk suami


Makjun ini boleh menjadi pil perancang dalam pada masa yang sama boleh juga merawat masalah dalaman wanita. Ia dipercayai boleh mengeluarkan sisa-sisa  haid yang lama, mengetatkan vagina serta menghilangkan keputihan. Saya rasa kemujaraban makjun ini terletak pada peningkatan dalam kehangatan hubungan suami isteri. Suami turut memuji dan merasa perubahannya. Haid semakin teratur dengan amalan mengambil makjun ini. Saya mengambilnya selama tiga bulan berturut-turut bagi memperbaiki hubungan suami isteri. Makjun Unta saya hadiahkan untuk suami, tetapi suami jenis tidak konsisten mungkin kerana itu kemujarabannya tidak dapat dikenalpasti.


4. Pil herba Maharani keluaran Hai-O Marketing


Di kedai ubat cina ada turut dijual 'pil mutiara' ini. Jenama sahaja berbeza. Asalnya saya tidak tahu yang dijual di kedai ubat cina adalah yang sama seperti Pil Herba Maharani ini. Ini kerana seorang Nyonya telah menuliskan nama ubat ini di dalam bahasa Cina dan menyuruh saya mendapatkannya di kedai ubat SingSe. Setelah dibeli, baru saya sedar bahawa ianya sama seperti pil Maharani yang saya beli dari dealer Hai-O. Ada sahabat yang memakan sebutir halus pil ini, padahal cara sebenarnya ialah menelan 1biji atau sekurang-kurangnya separuh biji (mengandungi berpuluh-puluh butiran kecil pil) setiap pagi selepas makan. Di dalam kotak Pil Herba Maharani terdapat enam kotak yang cantik-cantik. Cukup untuk bekalan selama enam hari sahaja. Saya ambil untuk dua kotak. Kemudian saya berhenti mengambilnya kerana suami tidak tahan 'kesan' ubat itu kerana hampir setiap hari saya 'ganggu' tidurnya. Faham-faham sendiri lah! Saya juga terkejut dengan perubahan 'keinginan' itu, patutlah namanya Maharani.


5. Korset Beautiful keluaran Hai-O Marketing


Korset ini saya ambil dengan harga yang cukup murah. Secara kebetulan ada dealer yang ingin menjual set baru cukup murah, entah kenapa. Saya ambil atas dasar ingin menghilangkan sakit bahu dan belikat saya dengan harapan hilangkah kesakitan itu. Namun, akhirnya hampa kerana sakit pinggang saya tetap begitu. Seorang dealer di pejabat tak habis-habis promote suruh saya beli dengan 'gula-gula' ianya boleh membantu mendapatkan zuriat.Sedikitpun saya tidak percaya! Sama seperti pembelian BioAura, saya selalunya membeli kerana membantu mereka-mereka yang terdesak untuk menjual atas tuntutan bayaran balik pinjaman daripada pihak bank yang mereka tidak dapat dilunaskan.


6. Buah Zuriat


Buah ini saya kirim dari pakcik yang pergi mengerjakan haji. Kepulangannya bukan sahaja berbekalkan tiga biji buah zuriat, malah dibekalkan juga serbuk kurma. Terima kasih Pakcik! Buah ini cara penyediaanya perlu dikupas kulit luarnya sehingga hilang semua sabut, direbus sebiji (jangan dibelah) dengan jumlah air rebusan menjadi separuh daripada jumlah asal. Warna air rebusan bertukar keunguan seperti air ribena. Buah tersebut boleh direbus beberapa kali sehingga hilang rasa dan warnanya.


7. Serbuk Kurma dan Madu


Penyediaannya mudah. Campurkan sebotol serbuk kurma dengan 1kg/1liter madu asli dan dikacau. Agak sukar untuk menjadikan kedua-dua madu dan serbuk kurma ini sebati kerana tekstur serbuk kurma yang lebih ringan dan halus, manakala madu pula berat. Setiap kali ingin dimakan, campurkan dengan susu kambing. Kalau malas seperti saya, saya campurkan sahaja dengan susu tepung instant suam-suam dan diminum setiap pagi dan malam. 


8. Air rebusan beras dicampur 7 biji kismis
Semasa menanak nasi, lebihkan sedikit airnya. Apabila air telah mendidih, ceduk sedikit ke dalam cawan dan campurkan dengan kismis dengan bilangan ganjil (3,5,7). Sertakan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W sebelum minum.


9. Krim Lumiglow
Sapukan krim ini di sekitar perut dan rahim. Krim ini boleh juga digunakan untuk menghaluskan kulit wajah.


10. Kit Ovulasi
Ovulation Tester kelihatan sama seperti Pregnancy Tester. Kit ini digunakan semasa hampir tempoh ovulasi bagi mengetahui masa yang tepat pengeluaran ovum. Saya sendiri tidak mahir menggunakan kit ini kerana kitaran haid tidak tetap 28 hari. 


11. Termometer mengesan Ovulasi
Catat bacaan suhu badan sebaik bangun daripada tidur setiap hari. Pada hari ovulasi berlaku, suhu badan akan meningkat lebih sedikit. Itu menandakan ovum sudah bersedia untuk dilepaskan. 


12. Kaedah urutan
Kalau di US mereka gelarkan Wurn Technique. Boleh lihat entry ini. Setiap sebulan sekali, atau setiap dua minggu saya akan berurut. Selain melegakan urat-urat saraf, dapat juga membetulkan peranakan. Sasaran untuk melengkapkan 60jam urutan tidak berjaya. 

13. Acupuncture/ bekam
Kaedah ini saya cuba sebanyak 2 kali untuk membuang darah kotor di dalam badan. Tidak rasa sangat kelainan dalam badan, mungkin wanita-wanita tak perlu berbekam darah kerana setiap bulan bukankah kita secara semulajadi membuang 'darah kotor'? Boleh lihat entry ini.


14. Diet sihat
Saya sendiri menghadkan pengambilan kalori dalam menu harian. Pagi hanya makan 3 ketul kuih bersama secawan air panas. Makan tengah hari dikurangkan portionnya. Makan malam saya pastikan sebelum jam 8.00 malam. Kadang kala, saya hanya minum oat pada waktu pagi. Semua ini sebelum saya laksanakan prosedur IVF memandangkan berat semakin bertambah sejak memulakan rawatan secara intensif daripada LPPKN. Mungkin terlalu banyak suntikan hormon telah menaikkan berat saya daripada 45kg kepada 58kg.


15. Dr.Nano Labcell


Sebenarnya selain saya berdiet, saya juga telah mengambil pakej 20sesi Dr Nano daripada groupon dengan hanya RM98. Bersama suami boleh dikatakan setiap minggu kami penuhkan masa untuk ke slimming centre ini. Untuk kesihatan dan menghilangkan stress. Saya berjaya turun 2kg dalam 1 bulan di samping diet sihat dan exercise, manakala suami berjaya turun 4kg. Pakej tidak berjaya dihabiskan kerana saya telah memulakan prosedur rawatan IVF penghujung Februari lalu. Pakej ini termasuk urutan, pelangsingan menggunakan mesin dan krim khas, serta sauna. Oh! Hampir saya pitam sebaik keluar dari kebuk sauna kerana itulah pertama kali saya di'kukus' begitu!


16. Senaman/ Larian atas Penginjak (Treadmill)
Saya survey di mudah.my hampir setiap hari sebelum berjaya membeli threadmill second-hand RM200. Hati gembira tak terkata! Mana mampu nak beli 2ribu-3ribu, sedangkan duit yang dikumpul hanya untuk IVF.


17. Clomid
Pil hormon ini saya makan sebanyak 3 kali kitaran haid sebelum saya ambil keputusan untuk berhenti rawatan di Hospital Pakar Metro. Pada waktu itu, saya masih baru memulakan rawatan kesuburan maka saya belum lagi pergi ke LPPKN yang jauh dari tempat kerja. Saya tahu, untuk mengurangkan kos rawatan, saya perlu berkorban memohon pertukaran tempat kerja yang lebih dekat dengan Kuala Lumpur. Jarak dari Banting-Kuala Lumpur tidak memungkinkan saya untuk berulang-alik nanti. Jabatan meluluskan perpindahan saya ke kawasan Kajang, dari situlah rawatan intensif saya bermula.


18. IUI
Sebaik bertukar kerja ke tempat baru, saya tidak membuang masa lebih lama. Tahun 2010 bulan Mac, kali pertama kaki saya menjejak tangga LPPKN Jalan Raja Laut. Di situlah perjalanan rawatan yang tidak berkesudahan. Dua kali gagal IUI, saya rasakan saya masih bertuah kerana mungkin ada sahabat yang sudah mencuba rawatan IUI untuk kali ke-10! Rawatan IUI kurang cerewet. Ubat hormon yang perlu disuntik juga tidak banyak. Prosedur memasukkan benih suami yang telah melalui proses Sperm Wash juga mudah. Apabila disyorkan oleh Doc.K untuk IUI kali ke-3, saya menolak dengan baik kerana merasakan masalah Hidrosalpinx ini yang menyebabkan kegagalan percantuman benih. Saya tidak menidakkan kuasa Allah. Kalau Dia berkata 'Jadi' maka "Jadilah!". Perasaan tertekan kerana kegagalan itu juga menjadi titik tolak saya berazam untuk mencuba IVF. Saya pernah merasakan kegagalan itu, walaupun saya sedar sekiranya saya gagal IVF kekecewaan itu tidak akan sama seperti kegagalan IUI. Bulan November 2010 adalah kali terakhir saya ke LPPKN sebelum mengambil masa untuk menenangkan diri dan mengumpul dana untuk IVF. Saya tahu kunjungan saya seterusnya perlu dengan keazaman, tawakal, kesabaran dan persediaan mental fizikal yang paling baik!


19. IVF
Kunjungan saya pada Oktober 2011 ke LPPKN adalah hanya untuk sesi kaunseling bersama doktor. Doc.K menerangkan dengan jelas prosedur IVF yang akan memerlukan masa dan kewangan yang 'memenatkan'. Ketika itu pula LPPKN sedang dalam proses penambahbaikan infrastruktur, maka saya diminta datang semula pada tahun 2012. Setelah ulangtahun perkahwinan saya ke-7 pada Februari 2012, saya tahu saya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran ini. Sokongan suami pada saat itu adalah ubat paling mujarab. Daripada seorang yang takutkan jarum dan darah, suami saya berjaya membuang perasaan ngeri dan ngilu apabila beliau sendiri kebanyakkan masanya menyediakan jarum suntikan dan ubat untuk dicucuk ke perut saya. Terima kasih sayang! Saya tahu, ianya mengambil masa yang lama untuk mencapai persefahaman dan komitmen semasa rawatan ini. Suami saya pernah melalui fasa 'tak endah' dan 'tak suka' lebih-lebih lagi pada ketika rawatan itu dijalankan kami sedang dihimpit masalah kewangan. Saya tabahkan hati, saya katakan padanya bahawa saya sanggup menanggung segala kesakitan dan berkorban semua harta saya, saya hanya perlukan sokongan moralnya. Saya perlukan benih darinya. Dia tidak perlu menanggung apa-apa kesakitan. Saya rela tanggung semuanya. Saya inginkan zuriat kami berdua. Akhirnya suami turut berubah menjadi seorang yg optimis dan positif. Saya tahu egonya sedikit jatuh kerana beliau tidak mampu untuk menyumbang dengan baik dari segi kewangan, tetapi saya redha dan tidak meminta-minta diluar kemampuannya. Saya tahu beliau seboleh-bolehnya cuba menanggung keperluan lain yang beliau mampu, membayar parking, makan dan minum kami mujur ada Pakcik Ebay... Cuma saya berharap suami mengenang detik-detik kesusahan ini apabila beliau ditakdirkan berjaya suatu hari kelak. 


Yang paling utama dan penting sebenarnya ialah Solat Hajat/Solat Taubat/Amalan Membaca Al-Quran/ Sedekah. 

I: Sekadar renungan kita bersama. Saya bukan seorang yang hanya akan bercerita peristiwa yang 'manis-manis' sahaja. Inilah hakikat kehidupan saya, ada kegembiraan dicelah kepedihan dan tak selalunya indah. Bersyukurlah kamu dengan apa yang kamu miliki, kerana andai kamu bersyukur Allah akan menambah lagi nikmat kamu! Maafkan saya kerana menulis sejujurnya. 

Thursday, June 21, 2012

Kos Rawatan IVF di LPPKN

Dah lama janji nak detailkan kos masa buat rawatan IVF tempoh hari. My mistake, semenjak akhir-akhir ini malas sungguh nak buka laptop. Maka, hari yang indah ini tiba-tiba saya tergerak hati, Allah turunkan intuisi untuk menulis. Semoga entri kali ini boleh dijadikan panduan sedikit sebanyak kepada rakan-rakan yang senasib dengan saya. Manalah tahu, kali ini usaha kalian membuahkan hasil. Entri kali ini juga besar harapan saya tidak diperbesar-besarkan, tidak diungkit sebagai menunjuk atau apa sahaja sangkaan negatif kerana saya tidak memerlukan itu semua bagi mengutuk tindakan saya yang berusaha secara saintifik sepenuhnya berbekal doa kepada Allah dan tawakal kepada-Nya.

Entri kali ini khusus untuk mereka yang ingin mengetahui apa yang bakal anda hadapi sekiranya memilih 'jalan' ini. Lihat amaun tersebut barangkali ada yang terdetik,

"Ahh..duit banyak boleh la cerita. Apa lah, buat di kerajaan pun makan sampai sepuluh ribu. Nama saja kerajaan."

Tolonglah, kepada yang bersikap prejudis, percayalah kos di swasta lebih mahal berkali ganda. Saya juga bukan sekaya mana, hidup sederhana. Semua wang gaji digunakan untuk ikhtiar memperolehi zuriat. Saat rawatan ini dijalankan, suami pula baru sahaja bekerja semula setelah hampir 18 bulan tidak bekerja. Bayangkan situasi saya. Saya tidak membuat pinjaman mana-mana bank atau rakan. Mungkin sedikit mendapat bantuan daripada bapa saya. Selainnya saya kumpul bertahun-tahun. Saya juga telah membekalkan sedikit tips (cara saya) kepada rakan-rakan yang berhasrat untuk menabung. Tepuk dada, tanya selera!

Kalau ada dijalankan di HUKM sekalipun, kosnya hampir begitu juga. Cuma saya mendapat maklumat dari seorang sahabat yang terbuka hatinya untuk mencuba kaedah perubatan moden ini, kos IUI di Hospital Kajang untuk percubaan IUI kali pertama dan kedua adalah percuma, malah kos IVF sekitar 5 ribu ke 6 ribu sahaja. Wallahualam


Semua kos ini tidak termasuk rawatan permulaan untuk diagnos seperti HSG dan SA. KOs rawatan IVF keseluruhannya pada yang berhighlight merah. Kos sesudah itu adalah kos tambahan untuk routine check up sekiranya rawatan IVF berjaya. Kos FET itu untuk embryo-embryo (hasil cantuman ovum dan sperma yang telah terbahagi 4) yang akan di'bekukan' dan disimpan di dalam bank embryo. Kos ini mungkin tiada (RM1000) sekiranya tiada embryo untuk dibekukan. Tempoh maksimum simpanan FET ialah 5 tahun. Sekiranya pasangan masih tidak bersedia/bercerai/mati embryo tersebut akan dilupuskan. Jangan bimbang, rawatan IVF di Malaysia masih patuh syariah, iaitu sekiranya suami dan isteri bercerai, atau mati salah seorang, anda DILARANG untuk meneruskan rawatan. Ini bagi menjaga zuriat dan keturunan ummat Islam khasnya. 

I: Kolum LPPKN itu diletakkan sebagai penunjuk berapa kali lawatan ke LPPKN perlu dilakukan sepanjang prosedur IVF. Inilah sedikit pengorbanan yang memerlukan kerjasama suami isteri. Bukan sedikit komitmen yang diperlukan, maka ada di antara kita mudah berputus asa ditengah-tengahnya. Perbanyakkan tawakkal. Berbincang bersama-sama suami supaya mencapai kata sepakat. Di saat ini, tolak ketepi segala masalah, pejam mata kepada satu-satu perkara yang menjengkelkan. Sentiasa positif dan pandang ke hadapan. Prosedur ini agak mengambil masa, wang, penuh emosi dan memerlukan kesabaran. Ketika ini, jangan terlalu berkira dengan kewangan dan jangan fikirkan langsung kemungkinan 'rugi' andainya prosedur gagal. Buang perasaan sayang pada 'harta'. Allah sedang menguji kesungguhan dan redha kita kepada kegagalan.Tawakkal kepada Allah sepenuh jiwa dan raga. Tanamkan dalam hati, andai ia memang rezeki kita insyaAllah akan diberikan juga olehNya. Bukankah kita pernah melalui fasa kecewa yang lagi hebat?