Wednesday, January 25, 2012

Allah sedang mendidikku


“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (seksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa) “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami.Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.”
Surah Al-Baqarah (2:286)

Walaupun aku rasa aku tidak kuat, namun tetap juga ujian itu hadir dalam hidupku.
Andai aku ceritakan semuanya, pasti ada antara kamu berkata kuatnya kamu, tabahnya kamu, sabarnya kamu. Moga ada hikmah sebaliknya. Itulah jawapan cliche aku. Janganlah ada pula yang membenci, mengutuk, kerana aku tahu mungkin masalah kamu lebih besar dari aku.

Dulu, semasa KAFA waktu sekolah Menengah, ayat ini ayat hafazan. Ayat ini diberi markah oleh guru yang mendidik aku. Lancar bacaan, penuh markah. Merangkak-rangkak, perlu kembali ke tempat duduk dan menghafaz semula.  Kini, aku sedar Allah sedang mendidikku. Allah sedang mengajarku. Allah sedang menunjukkan kasih sayangnya pada aku.

Mungkin dahulu ada ketika aku seperti kakak tua. Membaca kerana keperluan, kerana peperiksaan, kerana mengejar markah penuh. Bangga. Niat sudah salah. 

Maka kini, aku menyabarkan diri aku dengan menuturkan ayat ini. Sekali dengan ertinya. Sekali dengan tertanamnya maksud di dalam jiwa. Satu-satu terpahat di dada. Bukankah itu tandanya Allah sedang mendidikku?

Andai ada sekelumit rasa benci kerana dugaan datang melanda, fikirlah natijah di sebaliknya. Allah sedang menyayangimu, seadanya,..


No comments:

Post a Comment