Thursday, December 27, 2012

Fasa Perubahan Dalam Hidup



Akhirnya

Fasa baru dalam hidup aku baru bermula

28 November 2012

Aku memikul suatu tanggungjawab baru dalam hidup



Harta akhirat

Harta yang tiada tara

Kurniaan Yang Esa

Doa yang terkabul


Alhamdulillah, kelahiran zuriat ini dipermudahkan.
3.4kg, boy, tepat jam 10.19pagi
E.D lahir ke dunia
Moga kamu menjadi anak yang soleh



Thursday, November 15, 2012

Bersyukurlah, akan ditambah nikmat Allah padamu!

Terpanggil untuk menulis.

Kejadian yang berlaku di sekeliling, membuat minda ini berfikir.

Nikmat mana lagi yang mahu aku dustakan?

Aku rasa walaupun perjalanan hidup aku ini tak selancar orang lain, namun aku tetap bersyukur sekurang-kurangnya aku tetap dapat merasa nikmat yang Allah turunkan, tanpa aku sedar.




1. Penat mengurus rumahtangga. Nikmat. Kerana sekurangnya Allah menyedarkan aku nikmat bersuami.

2. Penat mengelek perut yang semakin membesar. Nikmat. Kerana sekurangnya Allah telah memakbulkan doa aku dan menyedarkan aku nikmat mempunyai anak.

3. Penat bekerja. Nikmat. Kerana Allah sedang menyedarkan aku yang aku bertuah dapat membantu suami mencari rezeki hasil titik peluh sendiri.

4. Penat membayar ansuran rumah dan kereta. Nikmat. Kerana Allah menyedarkan aku, berkemampuan memiliki kemudahan itu semua. Seadanya.

5. Penat menunggu suami pulang kerja lewat malam. Nikmat. Kerana Allah mengajar aku erti kesabaran dan nikmat nafkah yang diberikan hasil titik peluh suami.

6. Penat mencuci tandas, menyapu rumah yang penuh bulu Antenna, luka kerana cakaran. Nikmat. Kerana Allah memberikan rasa kasih dan sayang kepada haiwan kesayangan Muhammad S.A.W.

7. Penat memberi nasihat kepada sahabat. Nikmat. Kerana sekurang-kurangnya aku bukan hidup terpinggir tiada yang ingin bersahabat.

8. Penat menasihatkan pelajar-pelajar. Nikmat. Kerana sekurang-kurangnya aku mempunyai secebis ilmu untuk dipanjangkan pahala ke kuburan aku nanti.

9. Penat otak memikirkan masalah dan penyelesaian. Nikmat. Kerana sekurang-kurangnya Allah memberikan akal fikiran yang sempurna untuk berfikir.

10. Penat badan. Nikmat. Sekurang-kurangnya aku masih bernyawa!





I: Ada yang aku perhatikan masih tak nampak nikmat mencurah-curah yang Allah berikan kepadanya.

Tuesday, November 6, 2012

Makan free 5 hari

Siapa tak suka makan free? Syuh! Leh main jauh-jauh.

Sebab saya suka makan free. Lagi pula, dapat ilmu percuma.

Jabatan saya baik hati, hantar saya kursus lima hari. Hari-hari makan free. Elok le dalam situasi dipotong gaji sekarang ni. Haha!

Kena potong gaji sampai Disember. Dulu duduk bersenang lenang tiga bulan makan gaji buta kan, dah pandai hutang pandai lah bayar balik setiap sen!

So, pesanan penaja, siapa berhutang dengan PTPTN tu, bawa-bawa lah bayar balik. termasuk En.S yang suka bagi ayat cliche 'Malaysia sayang abang, tak bagi abang keluar obersea'. Padahal sesen kau tak bayar kan!

Duduk Hotel Pearl International sementara 'menunggu hari' rasa bagai orang mengantuk disorong-sorong tilam empuk. Hebakkkk! Suruh bercuti tenangkan fikiran. Siapa nak bagi?

I love my job. And i love it even more now. Tak pernah menyesal menjadi pendidik, walaupun akhirnya gaji anak-anak didik lebih besar dari cikgunya ini.

Tuesday, October 30, 2012

When dumb turn into stupid

Kisah ini berlaku weekend lalu.
Ketika ummat Islam menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Sebelum terlupa, Mubarak Eid Adha to all readers.


Sebab semua orang balik bercuti, makanya tiadalah makanan yang mudah dijumpai. Kedai mamak pun pakat-pakat tutup. Jadi, berjalanlah kami bertiga termasuk si dalam perut ke Alamanda. Tujuan nak cari makan saja.

Habis cerita makan begitu saja, kami pun nak pulang ke rumah. Sayugia, masa bayar parking saya tinggalkan suami di slot machine dan jalan kedek-kedek ke kereta. Suami berlari anak-anak ayam kedek ikut bini 'kendian' tayang balance dari slot machine RM8.00 tapi bentuk cantik-cantik 'Bentuk bulat rasa hebat'. Enam belas keping duit syiling lima puluh sen bagai slot itu bagi suami duit belanja sekolah hari hari. Sila gelak bersama saya sekarang. Huahuahua. Meh gelakkan dia ramai-ramai. rabak kocek bukan sebab shopping, tapi sebab berat gila macam bawa jongkong emas. Huahuahua.

Riang-ria gelakkan dia tak tamat begitu saja. Saya baik hati kemudiannya belanja En.S makan di Johnny's. Kejadian chopstick terbang ke lantai saya buat bodoh saja. Buat-buat tak nampak. Lantak lah kau orang nak kata saya jakun. Memang jakun pun. Pestime ni makan stimbot di situ. Selalu tahap aku makan kat downtown lepak tepi longkang je.

Kejadian Sabtu itu pula mengundang tawa dan senyum merekah aku sampai hari ini. Suami bayar tiket parking di Jusco Cheras guna not RM5. Sekali tu, sekali tu... Hahaha. gelak dulu!


Empat puluh keping duit syiling Sepuluh Sen!
Gila lawak kentang dengar berdecing-decing duit balance turun dari slot machine.

Kamu sungguh malang En.S!

Selepas itu kan, ada lagi dumb turn into stupidity kami. Tapi tetiba lak aku rasa lapar. Esok-esok saja lah sambung cerita!


(cont'd)

Soalan Salah pada Orang Yang Salah


Melewati angka tujuh tahun dalam perkahwinan tanpa dikurniakan zuriat, memang perit untuk menjawab pertanyaan orang sekeliling. Benar?

Namun, yang lebih perit apabila ada si polan ingin berkongsi duka tidak dikurniakan zuriat kedua yang ditunggu-tunggu diceritakan kepada tuan empunya diri yang 'seketul' zuriat pun masih belum kelihatan! Betul?

Adakah patut si empunya diri itu hangin satu badan?
Tidakkah si pengadu tadi merasakan bertapa bertuahnya dia yang at least dah punya satu?

Moral of the story, kalau ada kawan senasib yang mengalami situasi seperti ini, apa kata korang blah, angkat kaki! Toksah dok layan orang yang ingat dirinya paling malang di dunia, sedangkan rezeki yang Allah telah beri padanya melimpah ruah, ada dia nampak itu semua?



Memang si polan tak tahu bersyukur!

Kufur nikmat!

Biasalah manusia, always see half an empty glass, not half-full.

I: Bukankah Allah dah berjanji, kalau kita bersyukur dengan apa yang kita ada, maka ditambahNya rezeki kita. Kalau kita tidak bersyukur maka kita adalah di antara orang-orang yang zalim.

Thursday, October 11, 2012

Jiwa LUMAT


Hidup dengan kamu
Lebih pahit dari manisnya
Lebih sebak dari tenangnya
Lebih guris dari tawa

Hidup dengan kamu
Rasanya ingin aku tamat di sini juga
Bukan kerana rajuk
Hanya lelah dan letih

Aku ingin lena
Dan bangun dalam tawa
Merencana masa depan tanpa pautmu
Di tumit yang merekah
Membawa beban sengsara

Akan sampai masanya
Hanya tinggal aku dan dia
Saat itu kau akan
Kubuang jauh dari hidup
Tika kau sudah punya semua
Dan tiada sebab untuk aku menunggu lagi
Kau yang tak pernah dewasa!


I: '.......'

Sunday, September 30, 2012

'Affair' : Topik tabu dalam perkahwinan?



Mengapa sejak akhir-akhir ini saya sering mengeluarkan kenyataan tentang 'affair' di dalam perkahwinan?
Kalau disebut hubungan sulit, seperti 'geli' pula ingin menyebut.


Sebenarnya, sekiranya perkahwinan anda tidak pernah diuji dengan kehadiran orang ke-3, anda sememangnya cukup bertuah!





Kepedihan kehadiran orang ke-3 di dalam hidup amat sukar diubati, walaupun hati kiranya sudah memaafkan. Sepertimana gelas yang pernah retak dan dicantum semula, bekasnya masih ada. Jalur-jalur keretakan sentiasa kelihatan, belum tentu pula gelas tersebut boleh digunakan walaupun selepas digam dengan gam yang paling kuat. Air yang dituang mampu menitis keluar. Hati kita begitu jua. Ada ruang-ruang untuk kembali mengenang kisah pahit lalu.


Dalam hidup saya, sememangnya malu untuk mengakui pernah hadir orang ke-3 di saat awal perkahwinan lagi. Sesuatu yang dahulunya saya pendam sendiri. Hanya rakan karib saya yang mengetahui, keluarga jauh sekali untuk saya beritahu. Nah! Kini saya tidak lagi tertutup dengan isu ini. Bagi seorang insan seperti saya, keterbukaan ini serasanya kerana hati ini telah sedikit demi sedikit dapat menerima kekurangan di dalam perkahwinan. Hidup tak selalunya indah bukan?


Walaupun peristiwa itu perit untuk dikenang, kadang-kala hadir tanpa diundang, tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana ianya kini menjadi peringatan buat saya dan En.S dan peringatan itu datang di saat tahun pertama perkahwinan.


Bagaimana saya mampu bertahan? Kalau yang mengikuti kisah saya, pasti ada yang bersimpati. Teruskan bersimpati, kerana saya juga dahulu bersimpati dengan nasib sendiri . Soalan yang sama saya pernah lontarkan kepada emak, bagaimana dia mampu bertahan, saat perkahwinannya juga pernah diuji. Ketika itu usia perkahwinan emak menjangkau 30 tahun. Sabar. Hanya itu sahaja pesan emak. Kini saya sedar mengapa perkahwinan Mak Bapak kita dahulu kala tetap utuh, walaupun si suami panas baran, beristeri empat, hilang tanggungjawab dan sebagainya.


Setiap perkahwinan ada pasang surutnya. Hari ini melangit kita sayangkan suami, esok lusa peratusannya mungkin jatuh, kerana terdapat anasir-anasir luar yang negatif, syaitan yang menghasut anak Adam. Semakin saya dewasa, pelbagai peristiwa berlaku di sekeliling saya yang membuatkan otak saya ligat berfikir, mengambil natijah setiap perkara.


Pernah berlaku di kalangan keluarga, si suami seorang driver berusia 40-an, meninggalkan isteri dan anak tiga untuk wanita lebih muda, seorang janda berusia 20-an. Ke hulu ke hilir diangkut wanita itu saban malam, belanja makan, berkaraoke, hujung minggu di Baskin Robbin, Secret Recipe dan kedai-kedai makan ber'kelas'. Kita yang menyelinap di MukaBuku si janda tadi ikut berbulu mata, menggedik bagai, menggesel tubuh putih gebu dan bergetah lagi di sisi si driver. Tanpa segan silu pula si janda dan si pemandu ber'sayang-sayang' di MukaBuku yang pasti dapat menjadi tontonan umum. Bayangkan bagaimana perasaan anak dan isteri tadi andai terjumpa si suami bersama si 'affair'?


Kalaulah saya boleh kata di wajah si driver tadi. "Kahwin sahajalah, dari buat maksiat!"
Apabila ditegur seorang saudara di MukaBuku, marah pula si driver. Memalukannya di MukaBuku katanya. Oh. Yang Teran-terangan bermesej 18sx di MukaBuku awak tak malu? Dihamunya si pemberi nasihat, 'aku tahu aku driver, belajar tak tinggi, kau yang pendidik tu sepatutnya tahu hormat orang tua'. Saya yang menjadi pemerhati serasa ingin tergelak.


Oii. Ini tiada kena mengena dengan tahap pelajaran dan pekerjaan manusia. Ini soal kematangan, berfikiran waras dan common sense. Seperti nak kencing, takkan kita pergi ke akuarium pula, mestilah ke tandas. Tak perlu sindir si saudara yang berpelajaran kerana menegur, itu sudah menjadi kewajipannya bagi menghalang maksiat. Cuma mungkin si saudara tadi menegur terang-terangan di Dinding MukaBuku.


Benar. Topik tabu ini tiada kena mengena dengan tahap pendidikan seseorang jauh sekali pekerjaannya. Pasangan kaya boleh diuji, yang kurang berada juga tak terkecuali. Sebenarnya hanya akal dan minda yang waras boleh menentukan baik-buruk suatu perkara!



bersambung...



Friday, September 14, 2012

Childhood Memories Episode 2



Kecil dulu aku macam perangai boyish. Pakaian tidak melambangkan jiwa. Mak suka aku pakai skirt dan gown. Aku pakai juga lah, sebab abang-abang aku kata kalau perempuan pakai seluar jeans nanti 'Amnah Gila' kejar. Makanya, dengan skirt itu lah juga aku berkayuh basikal keliling kampung. Pergi kandang lembu kambing pun aku pakai skirt juga. Kena kejar dengan angsa peliharaan jiran dan disepit di skirt sampai terlucut. Cinabeng punya angsa!


Berani tinggal sorang-sorang? Tidakkkkk!

Antara semua abang-abang, aku paling rapat dengan abang di atas aku. Walaupun dia kaki sakat, tapi bontot dia jugalah yang aku mengekor. Dia usung basikal besar, aku usung basikal kecil dia dulu membontot dia. Kawan-kawan abang aku kawan aku juga. Kalau setakat main baling tin, baling selipar, galah panjang, polis-sentri usah cerita la, mesti aku join sama.


Kisahnya suatu hari, abang aku dan kawan dia pergi mancing. Aku tak nak tinggal, dengan berskirt dan selipar bertumit yang dibelikan emak, aku membontot abang ke hujung kampung di kawasan paya. Kawasan tu 'keras' sikit. Masa tu pun dah nak hampir senja. Dapat ikan seekor dua, abang aku suruh tunggu kejap, aku pun mencangak sorang-sorang kat tepi paya tu. Dengan selut dah penuh di selipar. Tunggu-punya tunggu, makin gelap. Tak banyak cerita, aku gagahkan diri menyusup celah-celah belukar, dengan sedu-sedan sebab rasanya aku tahu abang sengaja dajal tinggalkan aku. 


Dengan air mata meleleh-leleh sedih yang amat, betis penuh gigitan nyamuk, selipar berselut penuh, jauh juga aku nak berjalan kaki balik rumah. Sampai di rumah, aku tengok abang tengah kena belasah dengan mak. Aku dengar mak marahkan dia tinggalkan aku seorang di paya yang 'keras' itu. Gurauan dia melampau batas kali ini. Aku ingatkan aku selamat sebab teraniaya, rupanya masuk-masuk pintu rumah mak bagi upah cubit kat aku. Mak jarang naik tangan, jadi bila kena cubit tu aku serik la sekejap. Hehe. 




2-3 hari kemudian, aku mengekor semula abang aku. ^_________^


I: Agaknya kalau masa tu Puteri Bunian yang abang aku penah terserempak tu jumpa aku, macam mana aku sekarang?



Tuesday, August 28, 2012

Ucapan Basi Selamat Hari Raya 2012

Episod hari ini adalah yang sebenar punya entry. Yang lain-lain sejak 1 Ogos 2012 itu adalah scheduled entries.

Harap maaf, entry selalu lari tema. Sebabnya semasa mengarang entry berjela-jela itu main ham-tam sahaja tak tengok tarikh apa. Langgar sokmo.

Jadi bila gedik pi tengok semula entries itu semua, dalam hati detik

'Oh. Apalah yang telah aku buat. Entry haramjadah untuk bulan puasa sehingga hari raya.'

hehe

Oleh kerana Syawal panjang lagi, saya seisi keluarga mengucapkan (ucapan standard bagai duduk di perantauan lak. Kihkih)

'Selamat Hari Raya'
Maaf Zahir Batin

Oleh kerana kita kenal di dunia siber ni saja, saya jemput ajak-ajak ayam ke rumah. Heh!


Kenangan Aidilfitri 2008 di bendang belakang rumah MIL

Thursday, August 23, 2012

Antara 3017, 4012 dan 4013



Sejak disahkan hamil, batuk dan selsema menjadi rutin mingguan. Antibodi semasa hamil memang akan turun banyak, nak makan supplement pun berpada-pada. Selama ini supplement yang aku makan cumalah Pharmaton, itu pun dah stop berapa tahun lalu.


Jadi, sejak-sejak berisi ini, takkanlah pula nak selfish kan. Kena fikirkan apa yang kita makan, cikedis-cikedis dah tak makan, fastfood dah kurang, Kepci langsung takde pegi menjengah. Ada tak ada makan piza sekali, dan beberapa kali makan BurgerKing dan McDonald. Elok gak, tekak anak aku ni anak orang kampung. Suka makan sayur masak asam, ikan goreng dengan sambal belacan je. Itulah lauk paling nikmat, aku tak tipu!


Hospital bagi makan apa vitamin semua aku bedal je. memang tak banyak cerita. Semua fikir untuk anak je. Biarlah orang kata kalau makan vitamin lebih-lebih nanti anak jadi extra besar, susah nak beranak nanti, tapi aku memang tak banyak bunyi. Anak nak extra besar yang penting sihat, yang lain aku tak kisah. Cuma bila kerap selesema, diiringi batuk kemudiannya, aku pun jadi runsing. Batuk yang kokol. Faham? Siap kalau orang tak paham ingat aku jerit 'Kol! Kol! Kol!' karang ada laki aku pergi jawab telefon, 'tak ada pun orang call?'


Agaknya aku kurang vitamin C, aku makan le extra Vitamin C 'Buffered' slow release. Pun tak kurang juga. Aku kemam gula-gula cap kelapa laut afrika atau strepsil vitamin C sebelum tidur, untuk elakkan aku terjaga tengah-tengah malam mengkol-kol-kol tanpa henti.


Lepas tu, member aku suggest la makan buah oren banyak-banyak. Ye la, siapa tak tahu khasiat oren yang kaya Vitamin C tu kan?

Punya la panjang mukadimah aku cerita,  mesti ada yang dah catat ingatkan nombor ekor tadi eh?




Pesanan Khidmat Masyarakat

Antara Navel Orange #3017, #4012 dan #4013. Yang tak ada nombor tu selalunya limau mandarin lor. Jangan cari yang itu. Masa raya cina banyak la, masa cina tak beraya, kau makanlah Navel orange ni.

Navel Orange #3017
Yang ini tekstur dia agak lerai. Orang utara kata cheroi. Isi dia mudah dikupas dari kulit.
Rasa dia memang manis, tapi langsung tak ada masam pun tak boleh kan untuk tekak payau rupa aku ni. Warna isi dia lebih kekuningan, dan more juicy. Dekat Giant aku beli satu jaring 8biji RM5.99

Navel Orange #4012
Tekstur dia lebih padat. Tapi masih senang lerai dari kulit dan amat mudah pulak kulitnya nak terkupas ikut sekali masuk mulut.
Rasa dia manis, ada masam sikit. Tapi sikitttttttttttttttttttttt je masam dia. Tak effect banyak mana pun. Warna isi dia lebih oren sikit dari #3017. Dekat Giant aku beli satu jaring 8biji RM5.99

Navel Orange #4013
Tekstur dia lebih kurang sama dengan #4012, cuma warna dia banyak oren. Yang ini paling aku suka, sebab macam ada kenyal-kenyal sikit isi dia, takde la cheroi sangat. Ada masam sikit, banyak manisnya. Dan yang paling best, oren ni lebih besar dari #3017 dan #4012 tadi. Kulit dia agak kenyal. Puas hati la mengupas! Yang ini kat pasar malam pun ada, tapi spesis macam aku yang dah lama tak mengengah ke pasar, suruh En.S je yang beli ikan sayur bagai, kalau harap aku beli kat Jusco je 15biji RM12.99.


Semua oren ini tidak berbiji. Mudah betul hidup!


I: Buah lain aku tak lalu~







Thursday, August 16, 2012

10 cadangan untuk korang buat kalau suami ada affair Part 2




sambungan...read at your own risks

(6)
Being friend dengan laman sosial wanita itu. Letakkan gambar-gambar keluarga, atau gambar-gambar mesra anda di situ. Sekurang-kurangnya, dengan cara itu mereka akan tergugat dengan kata-kata suami kita yang konon tak bahagia, sedangkan hakikatnya mereka digunakan untuk bersuka-ria.


(7)
Mohon suami berkahwin dengan wanita itu, dengan syarat; lepaskan kita dahulu, harta (rumah dan kereta) menjadi hak kita, anak-anak semuanya akan mengikut kita seandainya perpisahan berlaku. Biarkan mereka sehelai sepinggang. Sekurang-kurangnya, andai perpisahan benar-benar terjadi, rasakan wanita itu; struggling di awal perkahwinan untuk mengukuhkan ekonomi keluarga seperti yang kita pernah lalui dahulu.



(8)
Kaji kelebihan wanita itu. Seandainya suami 'jatuh hati' kerana keseksiannya, maka jadilah seksi. Andai suami tiba-tiba marahkan kita kerana berpakaian seksi, katakan pada suami "Bukankah ini yang abang suka?". Ini sebagai menyedarkan suami yang tubuh kita terpelihara hanya untuk tatapan dia. Katakan pada suami andai suami berkahwin dengan wanita itu, sanggupkah suami menahan diri melihat isteri barunya menjadi santapan mata-mata lelaki jahil sepertinya dahulu?


(9)
Kebanyakan suami merasa stabil kerana menerima bantuan isteri dalam ekonomi rumahtangga. Inilah masanya kita pentingkan diri. Jangan tolong walau satu sen. Semua duit kita, kita gunakan untuk pampered diri kita. Beli pakaian baru, pergi spa, pergi makan sedap-sedap bawa anak. Biar suami merasa tertekan kerana kesempitan kewangan yang dahulu dirasakan stabil hingga mampu membelanja makan teman wanita ke tempat best-best, sedangkan semua itu hak isteri dan anak-anak.



(10)
Belajar redha, belajar memaafkan. Walaupun perit. Itu pun sekiranya suami telah benar-benar berubah dan bertaubat tidak akan mengulangi. Jika perlu, buat lafaz takliq 'Andai abang menduakan you lagi, jatuhlah talaq ke atas mu.' Haish. Sanggup ke korang sentiasa berjaga-jaga bimbangkan sejarah berulang? Lebih baik cabut, angkat kaki awal-awal lagi. Banyak lagi kebahagiaan untuk dikecapi di dalam dunia ini. Daripada bimbangkan suami, lebih baik fikirkan masa depan anak-anak.




I: Ini pendapat peribadi saya sahaja. Kalaulah segala masalah boleh diselesaikan dengan tumbukan di wajah suami sepuas-puasnya melepaskan geram atau melemparkan pinggan berisi mee goreng ke wajah wanita itu, alangkah mudah? Kalau korang, apa korang buat? 

Thursday, August 9, 2012

Punca Hydrosalpinx

Hydrosalpinx adalah suatu keadaan di mana tiub fallopio wanita dipenuhi cecair dan menjadi tersumbat. Masalah ini akan menyebabkan sesetengah wanita mengalami kesakitan dan membawa kepada ketidaksuburan. Dengan diagnosis, ia boleh dirawat.

Signifikan:
Tiub fallopio berfungsi untuk membawa telur (ovum) daripada ovari ke uterus. Setiap bulan apabila ovulasi berlaku, telur dibebaskan daripada ovari melalui tiub fallopio. Percantuman benih ini akan berlaku di tiub fallopio. Sperma pula akan berenang melalui tiub fallopio untuk bercantum dengan telur dan tersenyawa menjadi embrio. Embrio tersebut kemudiannya akan bergerak melalui tiub untuk melekat di dinding rahim. Walau bagaimanapun, disebabkan hydrosalpinx, tiub fallopio dipenuhi cecair menyebabkan telur sukar dan tidak mustahil gagal sama sekali untuk bertemu sperma.



Saturday, August 4, 2012

Apa alasan wanita yang ada affair dengan suami kita?



Main agak-agak saja ni.
Berdasarkan pengalaman kawan kita.
Betul! 
Memang kawan kita
Kalau korang kawan kita tu, 
atau korang pun rasa-rasa pernah jumpa kes lebih kurang
Ceritalah sedikit, mengapa ianya berlaku?
Dari sebelah si wanita yang mempunyai affair dengan suami orang pula.
Jangan bimbang, 
saya tak report pada isteri mereka.
Rahsia kita-kita saja.


(1)
Dia (suami) mengaku bujang. Saya pulak anak dara, sesuai sangatlah tu!


(2)
Dia (suami) kata tak bahagia dengan isterinya. Isterinya ada masalah dalam rahim. 
Exaggerate. Tak boleh buat 'projek'. Dengan saya kalau dia kahwin, saya bagi kaw-kaw punya.


(3)
Dia kata dah kahwin lama, nak zuriat sendiri, tapi isteri dia mandul. 
Exaggerate Kalau dengan saya dia kahwin confirm saya bunting pelamin.


(4)
Dia kata dia mampu. sebab gaji dia besar. Saya rasa why not. Lelaki kan ada kuota 4.


(5)
Isteri dia kerja jauh, tidak mahu pindah mengikut dia di sini. Kalau saya di tempat isterinya, sebelum kahwin saya dah mohon pindah atau berhenti kerja semata-mata untuk hidup di sampingnya.


(6)
Dia kata dia kuat ***. Isteri dia selalu tak layan kerana letih layan anak-anak. 
Sedangkan dia dah sediakan maid untuk ringankan beban isteri. 
Exaggerate. Kalau saya jadi isterinya, saya rela berkhidmat sehari 24jam. Main dia sahaja, tak perlu makan, tak perlu fikir anak, tak perlu fikir kerja. Kangkang sahaja.


(7)
Dia kata isteri dia selalu tak sokong apa cadangannya untuk berhibur seperti zaman bercinta
Exaggerate. Kalau saya isterinya, saya tinggalkan anak-anak di rumah saudara-mara, sahabat-handai, tak pun tinggalkan dengan amah je di rumah semata-mata nak pergi tonton wayang cerita yang anak tak boleh masuk kerana anak masih kecil. Sangkut saja anak-anak di nursery sebab nak follow si dia karaoke. Tak payah kerja lebih masa, tak payah fikir kewangan tambahan kerana hantar anak di hujung minggu ke nursery, segalanya si dia belanja.


(8)
Alasan typical,
Saya dan si dia tak merancang untuk bercinta.
Segalanya terjadi dengan sendiri.
Sudah takdir Illahi.


I: Korang pernah jumpa kes macam mana pula?

Wednesday, August 1, 2012

Mee bandung


Saya suka makan mee bandung. Kalau di KL, kebanyakan mee bandung seropa mee tomato. Balik kampung baru dapat merasa mee bandung Muo

Resepi ini bukan saya buat sendiri. Saya dah jumpa rahsianya.

dijamin sedap!



Rempah Mee Bandung MatPon!
Suggested by my SIL yang suka masak tu. Wife abang saya yang sulung.
Kalau ikut kata SIL, tak perlu tambah apa-apa. Saya tumisjuga nak bagi feel masak dan masukkan beberapa ingredient memekatkan kuah.

Bahan-bahan:
Rempah mee bandung MatPon
Udang kering
Bawang besar, bawang putih
Kacang tanah dikisar
Biskut marie.
Daging
Ayam
Sotong/Udang (jika suka)
Sayur sawi, karot, tomato
Tauhu
Telur
Garam dan gula secukup rasa.

Step:
1. Tumiskan bawang dan udang kering. Masukkan rempah mee bandung. Dah naik bau, masukkan bahan-bahan basah (ayam/daging/udang/sotong)
2. Masukkan air dan didihkan. Masukkan biskut marie dan kacang. Biarkan mendidih.
3. Masukkan sayur-sayuran. Matikan api.

P/s: Biskut Marie saya gantikan dengan biskut cream cracker. Tujuannya untuk memekatkan kuah. 
Saya tak letak sukatan kerana selalunya masak ikut 'rasa'. Pandai-pandai le mengagak. Telur tu dah nak makan nanti didihkan semula kuah dan pecahkan telur ke dalam kuah sedang mendidih. Dah separuh masak, angkat semula dan letak di mangkuk. Kalau tak suka, boleh guna telur rebus je.



Dah cuba masak, titipkan sedikit untuk saya ya!

Saturday, July 28, 2012

Mengapa boleh berlaku 'affair'




Seorang suami yang ada affair.
Bagaimana boleh berlaku?
Meh kita bincang!


(1)
Long distance relationship.
Atau bahasa sekarang PJJ (Perkahwinan Jarak Jauh).
Orang kata kalau berjauhan kita kena percayakan suami seratus-peratus. Saya rasa tidak benar sama sekali. Curiga mesti ada. Sebab seratus-peratus percaya itulah aku frust menonggeng seketika.


(2)
Hubungan dan tak macam masa bercinta.
Kalau sebelum berkahwin, sejam dua bergayut rasanya normal. Entah apa dicecehkan. Selepas berkahwin semuanya kena control perbelanjaan, apatah lagi duduk berjauhan ada '2 periuk'. Estimate bil punya pasal, rupanya suami belanja bil telefon ke tempat lain. Pengorbanan menahan rindu supaya ada duit buat tambang bertemu setiap minggu jadi kesan negatif pulak. Hish. Sekarang jangan risau, digi murah, u-mobile murah. Boleh gayut lama-lama walaupun lepas kahwin. Semasa saya berkahwin dahulu bil telefon paling ringan tiga ratus setiap bulan.


(3)
Suami dah rasa kita hak mutlaknya.
Dahulu masa bercinta takut si kekasih lari kahwin dengan lelaki lain, maka dijaga hati dan jiwanya sebaik mungkin. Selepas berkahwin, dia tahu isteri telah sah menjadi miliknya dan tiada apa yang perlu dikhuatirkan lagi. Rasa 'lega' itu digantikan dengan keterujaan mengejar hati yang baru, seperti semasa suami mengejar si kekasih sebelum bergelar isteri dahulu. Setuju? Next!


(4)
Saham suami naik selepas berkahwin. Saham isteri jatuh merudum memegang gelaran Puan.
Andai dahulu sebelum berkahwin, bersidai-sidai lelaki menunggu peluang memikat si kekasih bakal isteri.
Masa itu, zaman si kekasih masih harum si dara, mestilah saham meningkat bak Bursa Malaysia. Lebih pula andainya ada rupa, bekerjaya, berkereta, berpelajaran. Lelaki sekarang pandai juga, mencari isteri yang stabil untuk mereka. Kerana saham si kekasih yang mencanak-canak, si bakal suami rasa perlu menjadi 'pemenang'. Adat lelaki ego tinggi. perlu mendapat apat yang dihajati. Saham mereka pula asalnya biasa-biasa saja. Setakat baru mula kerja, manakan dapat pendapatan empat angka bermula digit empat juga. Setelah berkahwin, saham isteri jatuh bak bulan jatuh ke riba, kalau bulan yang jatuh tak mengapa. Saham mereka yang berganda meningkat, kerana catalyst  kewangan bak ibu roti, dari pendapatan empat angka bermula dua, akhirnya meningkat serta-merta dua kali ganda!


(5)
Suami saja suka-suka. Mengisi masa lapang.
Boleh ke gitu?




I: Agak-agak ada sebab lain tak?

Saturday, July 21, 2012

Childhood Memories Episode 1



Menjelang Ramadhan, pasti aku teringat zaman kecil dahulu.
Menjadi satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, aku ada 3 orang abangS dan seorang adik.
Masa kecil dahulu, aku selalu rasa ter'hazab' sebab tak tahan kena buli dengan abang-abang. Derang kijam sehh!


Beza kami adik beradik standardnya 4-5 tahun seorang. Masa aku umur 5 tahun adik baru usia setahun. Bala-bala (memang bala) tentera atas aku pula 9, 12, 15. Lebih kurangnya camtu le. Sampai sekarang aku tak berapa nak memorized beza umur derang dengan aku, tapi bukan nak cakap gebang, derang memang suka dajal aku masa kecik dulu. Hasilnya, sampai besar aku dah tak heran kena gebang ngan kaum-kaum Adam dan takde la segan malu-malu kucing kalau dengan lelaki. Tahap selamba aku perlu diakui. Haha!



Masa kecik dulu, umur 5 tahun aku bertatih-tatih puasa. Mula-mula separuh hari, lepas tu Abah kata nak bagi upah sehari penuh dapat RM1 (zaman tu sehengget kira besar ooo) aku terus kobar-kobaran nak puasa penuh 30 hari. Tapi, dek ada abang-abang aku yang macam malaun tu, selalu adekkkkk kecundang mak!



Ada suatu hari di bulan Ramadhan, kira dah penghujung-penghujung Ramadhan juga. Mak tengah sibuk buat rempeyek pakai dapur minyak tanah zaman dolu-dolu kaler biru dok kat lantai. Aku dan abang-abang main di luar. Tak penah aku citer, umah aku dulu ada kedai runcit kecil-kecilan. Hari tu pula supplier hantar barang datang naik lori 5 tan. Bila barang dan habis turun (kami adik-beradik kena kerah angkut barang dan susun di rak, dah nak raya jadi stok barang banyak la) kami pulak yang naik belakang lori tu ramai-ramai! Bahagia oo! Macam jakun tak hengat! Lori 5 tan pun kami jakun -__-"



Aku la yang akhir sekali panjat naik. Tu pun selepas jerit-jerit mintak abang-abang aku tarik aku naik atas lori sama dengan derang. Almaklumlah, kaki adek pendek. Baru 5 tahun kan! Elok je aku naik, derang pakat-pakat terjun bersama-sama tinggal adik kesorangan di atas lori. Tokey lori lak datang acah-acah nak bawak aku balik. Ngeri siut! Pakcik tu ada misai tebal. Aku zaman kecik memang tak suka lelaki ada jambang dan misai.



Maka, adik yang ketakutan ini bertambah-tambahlah histerianya di atas lori dengan abang-abang dok bergelak ketawa terbahak-bahak sambil blah begitu saje. Kejam kan?



Maka, ketakutan mengatasi segalanya. Tinggi aku yang tak sampai 3 kaki tu, aku lompat terjun lori. Melalak tak hengat masa tu! Dengan gown (mak aku suka pakaikan anak dara seorangnya gaun, aku benci tul!) terebeh-rebeh dan air mata berjuraian, aku berlari dapatkan mak. Maka, menangis teresak-esak lah aku di atas riba mak mengadap dapur yang panas dan tong deram isi rempeyek. Di sebelah mak, adik tidur dalam buaian.



"Heh, kan mak kata orang puasa tak boleh nangis, nanti batal puasa!" 
Ceh, ayat cliche gila padahal mana ada hukum nangis membatalkan puasa. Tapi aku caya kata mak masa tu.



Oleh sebab aku dah berjurai-jurai keluar air ikut mata dan hidung sume, aku terus assume puasa aku dah batal. Maka aku terus capai rempeyek mak dan kunyah di situ tak banyak citer punya!



Mak yang terkejut tengok aku, terus tanya. Aku jawab selamba. "Puasa orang dah batal la mak, orang nangis!"


Maka. dengan penuh rempeyek di tangan kanan. Dan air segelas di tangan kiri, aku kejar abang-abang aku yang bersembunyi. Nampak je muka derang, terus aku tayang.



"Uhhhhh...sedapnya rempeyek. Argh leganya dapat minum air sejuk!!!" saja aku pekik kuat-kuat. 


Abang-abang aku semua terlopong!


Maka, sikap membalas aku itu adalah hasil kena buli dari kecil.



I: Selamat Berpuasa kepada seluruh muslimin dan muslimat! Semoga puasa ini menjauhkan kita dari perbuatan keji dan mungkar.

Saturday, July 14, 2012

10 cadangan untuk korang buat kalau suami ada affair



Mari berbincang apa yang kita perlu buat setelah berjaya menghidu kecurangan suami?
Caution: Read at your own risks





(1) 
Tanyakan kepada suami bersekali bukti. Kalau suami nafi?




(2)
Hubungi wanita terbabit. Tanyakan apa hubungan sebenar mereka. Bercakap dengan penuh hemah. Tunjukkan kita punya mental bukan rendah. Usah merayu kepada mereka. Nanti mereka ingat mereka hebat sangat. Kalau secara automatik meminta maaf dan mereka katakan suami mengakui bujang, maka bukan salah mereka kerana terpedaya. Itu salah suami kita yang merenyam. Selalunya wanita yang tertipu akan mengundur diri kerana masih ada wanita bujang yang tidak terdesak mahukan suami orang. Seandainya mereka tahu suami telah berkeluarga, kebanyakan wanita ini memang tegar. Tidak mustahil mereka akan tunjuk mereka lebih hebat. Dalam satu kes seorang sahabat, panggilan diri 'kakak', akhirnya dibalas 'i-you' dan ber'speaking' bagai. Sila balas speaking semula. Andai bukan cikai sangat!



(3)
Gunakan Reverse Psychology. Daripada kamu merayu kepada wanita terbabit, lebih baik kamu katakan kepada mereka 'Ambillah kalau kamu betul-betul mahu. Sebelum itu, minta dia pujuk suami lepaskan kamu'. Katakan pada mereka, andai benar suami mencintai mereka, pasti suami tidak akan teragak-agak untuk menurut permintaan kekasih hati.


(4)
Hubungi wanita itu dengan kerap sebagai gangguan emosi kepada mereka. Jangan kita pula merana menanggung perasaan seorang diri. Jangan asyik lepaskan kepada suami (walaupun suami selayaknya menjadi tempat melepaskan kemarahan dan ketegangan emosi akibat tindakannya). Nak psiko suami pun boleh juga, cakap elok-elok, lembut-lembut. Tanyakan mengapa perkara itu boleh berlaku. Bercakap dengannya dalam situasi selamat, contohnya berada di tempat yang tidak boleh suami elak untuk menjawab; contoh di restoran, rumah saudara sewaktu anda berdua sahaja. Jangan pandai-pandai tanya depan anak. Sebaik mungkin, berlakon anda ok di depan anak-anak.



(5)
Desak wanita itu pujuk suami melepaskan kita. Disamping itu, katakan pada wanita itu yang kita tak akan rugi apa-apa. Katakan pada mereka dengan yakin, yang kita berkerjaya, berpendidikan dan stabil, tidak menjadi kudis hidup tanpa suami, sebaliknya suami yang banyak menerima bantuan kita. Dengan kata jahatnya, katakan kepada mereka 'suami saya, kekasih awak itu merempat tak cukup duit kalau saya tak ada'. Biarlah kelihatan mengaibkan suami, tapi percayalah, ianya berkesan. Orang tua kata, budak-budak makin dihalang makin dibuat, maka, kita sua-suakan ke mulut wanita itu yang dia terhegeh-hegeh sangat hendakkan suami orang. (Ini langkah untuk wanita bekerjaya. Kalau tiada pendapatan sendiri, mahu mengundang nahas nanti). Kebanyakan wanita muda mempunyai hubungan dengan suami orang kerana menurut psikologi mereka, suami-suami ini stabil, kewangan kukuh, sudah mempunyai rumah, kereta dan simpanan. Hakikat sebenarnya di zaman ini, kestabilan itu adalah juga melalui sumbangan isteri yang tidak berkira dalam soal perbelanjaan isi rumah.



Next!
to be continued... (sabar ye!)

Wednesday, July 11, 2012

Dapatkan sokongan



Support group

Itu adalah suatu yang anda TTCrians perlukan

(1)
Sokongan suami

(2)
Sokongan keluarga

(3)
Sokongan support group; eg.ratuhati, group-group TTC
kerana mereka lebih memahami





I: Bersyukur kerana Mak dan Abah adalah penyokong utama di saat kesedihan. Abah lebih-lebih lagi. Sikap positifnya sentiasa menyuntik semangat untuk terus berusaha.



Saturday, July 7, 2012

Kek Pisang Mee Bandung

Bukan mengidam.
Hanya memenuhkan selera yang tak berapa nak lalu akhir-akhir ini.

Tiba-tiba terasa nak buat kek pisang. Jalan-jalan di myresipi, dapat pula resepi kek pisang yang mudah.
Bahan-bahannya pula memang dah sedia ada di dalam almari. Pantas tangan ini mencapai periuk dan mixer.Oven on state preheat.

Pisang tu memang sentiasa ada dalam stok (dikopek dan disimpan didalam bekas, masuk ke dalam fridge). Sesuai untuk dibuat cekodok dan kek kemudian hari. Air gula dari pisang akan keluar dan pisang akan lembik sendiri. Durian pula saya freeze. Setiap kali pulang dari kampung, emak akan bekalkan pelbagai jenis buah-buahan dari kebun. Saya yang sayangkan hasil titik peluh abah, tak sampai hati nak buang buah-buah yang kemudiannya jadi terlebih masak dan mala. Iyalah, hanya berdua dengan En.S, setakat goreng pisang 3-4 biji pun dah cukup buat kami. Kalau dah emak bekalkan 2-3 sikat, lalu pulak lah hari-hari nak breakfast dan hi-tea dengan pisang.

dah selamat separuh loyang masuk perut (-__-)"

Resepinya:
Pisang - 4biji  saya guna pisang lilin
Tepung naik sendiri - 1 3/4 cawan *
Tepung jagung  - 1/4 cawan
Gula pasir - 1 cawan **
Soda bikarbonat - 1setengah tsp
Minyak masak - 1 cawan
Telur 3 biji

Step:
1. stir-mix gula pasir dan telur hingga kembang.
2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit beserta soda bikarbonat
3. Mix pisang ke dalam adunan. Oleh kerana saya pakai mixer dan pisang dah sedia lembik, saya tak lenyek pun, stir sekejap dia dah hancur sendiri
4. Masukkan minyak masak.
5. Bakar pada suhu 160degC sampai masak. 

P/s: 
*Di rumah tiada tepung naik sendiri, saya gantikan dengan tepung gandum ditambah 1setengah tsp baking powder dan secubit garam.
** Gula saya guna tak sampai 1 cawan, kerana pisang lilin dah sedia manis tak seperti pisang berangan.

Masa diambil untuk prepare kira-kira 10-15minit je. Amat mudah!


Mana mee bandungnya? Next!

Friday, July 6, 2012

Tolonglah, jangan kata apa-apa lebih baik

Saya berhajat blog ini menjadi inspirasi rakan-rakan senasib. Kalau bukan menjadi inspirasi, sekurang-kurangnya menjadi tempat menambah maklumat dan informasi tentang TTC. InsyaAllah, demi menjaga hati para rakan, saya elakkan bercerita mengenai kandungan saya. Saya bimbang andai ianya nanti mengguris perasaan rakan-rakan yang sedang gigih berusaha tanpa kenal jemu.


Namun, permintaan suami agar saya dedicated perjalanan zuriat kami ke bentuk blog ini insyaAllah akan saya usahakan. Akan saya buka sebuah blog khas untuk anak(anak) saya nanti. InsyaAllah. Dengan izin Allah, akan saya asingkan kisah-kisah perjuangan TTC dan perkembangan anak-anak. Agar kedua-duanya dicapai dengan tujuan berbeza oleh segelintir pembaca blog ini.


Sepanjang hampir 5 tahun berusaha untuk mendapatkan zuriat dalam usia perkahwinan menjangkau tahun ke 8 (sebenarnya masih dikira tidak terlalu lama berbanding sesetengah rakan TTC), saya faham kita sering diajukan soalan mengguris perasaan. Ramai yang 'caring' tetapi ayat yang dikeluarkan kerapkali mengguris perasaan. Saya tidak terkecuali. Sepanjang perkahwinan ini, ada 2 kisah yang benar-benar mengguris perasaan saya sebagai isteri. Baru kini saya tergerak untuk menceritakan semua. Sekadar kata-kata rakan sepejabat dan jiran tetangga segalanya saya boleh lupakan dan saya jawab. Namun kisah ini membuat saya terkesan sepanjang hayat.


Saya terkenang saat kakak kepada En.S memperolehi zuriat ke-2, seorang bayi comel perempuan, kira-kira dua tahun yang lalu. Demi menjaga hati keluarga mertua, saya pulang bagi meraikan majlis 'berendoi' atau 'potong jambul' tersebut walaupun saya dapat merasakan 'kata-kata' yang bakal dilemparkan kepada saya. 


Pada hari majlis berlangsung, saya masuk ke bilik bayi yang bersama-sama ibunya sedang menanti berzanji tamat dilagukan. Sambil bermain-main dengan pipi gebu si comel, ibunya bertanya 'maksu bila lagi?'. Saya hanya tersenyum. Serasa saya, saya hanya mengabaikan pertanyaan tersebut atau 'buat-buat pekak'. 2-3 orang anak saudara di sekeliling si comel juga asyik mengulitnya,tidak faham akan perbualan kami tadi. Kemudian saya segera beredar, serasa tak sanggup melihat bayi tersebut kerana seolah-olah soalan yang dilemparkan bukan dengan tujuan 'caring' tetapi seperti 'kau ni nak tunggu apa lagi, asyik belajar je, merancang ke?'


Saya segera melabuhkan punggung di kalangan tetamu-tetamu. 2-3 orang anak saudara lingkungan usia 4-5 tahun yang tadinya di dalam bilik bersama-sama ipar saya tiba-tiba mengerumuni saya di celah-celah tetamu yang hadir dan bertanya soalan yang sama diajukan kakak ipar tadi.


"Mak su bila nak ada baby..?" mereka mengasak-asak inginkan jawapan saya di celah-celah bacaan berzanji yang sayup-sayup.


Dalam hati terdetik..Alahai, budak-budak apalah yang mereka tahu dan faham. Siapalah yang meng'ajar' mereka soalan-soalan begini. Saya hanya menjawab, di dalam hati terdetik dari mana soalan ini mereka 'belajar'.


"Doakan la Maksu ada baby ye.." Air mata terasa bergenang, saya tahan-tahan.


Sebaik tamat bacaan berzanji, para tetamu bangkit untuk bacaan selawat. Ibu mertua yang ingin menjaga hati saya menyuakan talam berisi buah kelapa ditebuk dan berhias cantik untuk dibawa mengelilingi tetamu yang hadir. Si ipar tadi menggendong bayinya. Sebak tadi masih belum surut. Kini saya terpaksa menatang dulang mengiringi ipar sambil mengelilingi semua tetamu. Setibanya kepada adik kepada ibu mertua, tiba tiba beliau bersuara lantang sambil memeluk saya berhadapan dengan para tetamu.


"Ni hah..dah lama kawin entah kenapa tak ada-ada anak. Doakan la ya"


Ya Allah. Rasa ingin berjurai air mata saat itu juga. Saya terasa dimalukan di depan semua khalayak. Begitukah caranya ingin mereka para tetamu mendoakan saya. Saya terkedu. Tangan rasa menggigil menatang talam. Saya gagahkan diri. Saya berjalan pantas-pantas, menyegerakan 'tawaf' semua tetamu, meletakkan talam dan masuk ke bilik. Saya menangis sepuas-puasnya. Tangan pantas mencapai handphone dan mesej ringkas dihantar kepada suami.


"Petang ini juga mama nak balik."


Pujukan suami menyebabkan saya bertahan untuk malam itu dan keesokan harinya awal-awal pagi lagi saya sudah menyiapkan diri untuk pulang. Saya tidak betah tinggal lebih lama.


Hingga kini, saya berusaha untuk berfikir secara positif, tetapi saya gagal. Saya tetap terkenang maruah saya seolah dipijak-pijak, perasaan saya seolah-olah dibanting, 'ambil berat'nya umpama seguni beras dihempap ke kepala. Saya masih tidak dapat berfikir apa rasionalnya saya di'umum' secara besar-besaran sewaktu upacara itu. Tak tercapai dek akal saya ini. Lebih-lebih lagi dia juga orang yang sama 'marah-marah' kerana adat 'tol' di negeri kelahiran saya semasa saya bersanding di atas pelamin dahulu. Seolah-olah 'tol' tersebut dari poketnya. En.S bersanding di sebelah saya turut berubah riak wajah kerana hamburan kata-kata ibu saudaranya itu. 


Sekiranya yang bertanya dan memberi cadangan itu rakan seperti kisah ini, mahu lantang mulut ini menghambur semula. Iyalah. Geram juga hati ini. Kalau mereka boleh bertanya 'suka-suka' sesedap rasa. Suka-suka dan sesedap rasalah saya ingin menjawab bagaimana. Tetapi, perasaan hormat kepada orang tua saya masih tebal. Saya tak ingin keruhkan hubungan persaudaraan dengan keluarga En.S. Hingga kini, setiap kali perayaan saya tak pernah gagal ke rumah ibu saudara En.S tersebut. Saya anggap dia 'orang tua' yang bercakap ikut sedap mulut sahaja, seperti kakak En.S juga.


I: Lebih baik kamu diam dan tak kata apa-apa kepada soal anak, dan jodoh. Kadang-kala, ayat dan sikap itu tak kena tempat.

Wednesday, July 4, 2012

Langkah-langkah di dalam IVF

Ni hah, gigih untuk kawan-kawan TTC, saya buatkan jadual untuk bagi faham bila masa nak suntik ubat itu, ubat ini, bila nak buat step itu, step ini. Jadi kalau datang dalam bentuk jadual, senang sikit korang nak faham, ye tak? Cepat! Sila belanja saya McD Big Mac ok! 


(-.-)"
macam tak ada kerja pulak, rajin buat schedule listing. Esok dah naik kerja semula, satu entri pun makan sebulan sekali.

Wohoh. Gigih hari ini nak buat entri khas untuk TTC. Walaupun jarang masuk RH dah, saya tahu rakan RH semua gigih juga sedang berusaha. Chaiyo!


P=period (kaler merah khas untuk bendera 'Jepun')
B=Buserelin
F=Gonal F
SST=Sperm Survival Test (Suami sahaja, yang perempuan takde 'berudu' ya)
HCG=Human Chorionic Gonadotropin 
BHCB=Beta Human Chorionic Gonadotropin (dijalankan untuk melihat peningkatan hormon HCG untuk menentukan kehamilan. Selalunya kalau hamil, hormon ini naik 2 kali ganda setiap hari dari hari diambil HCG)
Pregnyl= Ubat pecahkan telur (bagi release daripada ovari)
OPU=Ovum Pick Up /Egg Retrieval
IVF=In-Vitro Fertilisation (dalam lab, ovum dan sperm dicampurkan dalam satu bekas untuk bagi cantum). Lepas tu, kalau fertilised, dia eram lagi 3 hari sebelum ET
ET=Embryo Transfer
FET=Frozen Embryo Transfer (kalau ada baki embryo, simpan dalam bank untuk kegunaan next time)

Dalam 2ww(two week wait after ET) kalau buat pregnancy test sendiri mungkin korang akan dapat Big-Fat-Positive (BFP) dan menyebabkan korang menyangka korang hamil. BFP berlaku kerana Pregnyl/Pubergen dibuat daripada air kencing wanita hamil yang diekstrak. Jadi efek ubat itu mungkin masih tertinggal di dalam sistem badan kalau korang tak menyabar gatai beli pregnancy test sendiri dalam masa 2ww.(wohohhh..aku bersalah kerana bercerita)

Me, on the other side dapat BFN (Big-Fat-Negative), pandai-pandai nak harung beli pregnancy test (PT) sendiri sebab tak sabar 2ww, dah frust menonggeng sebab nampak single line 2x beli semua 1line. Bila buat BHCG baru dapat sahih hamil. So, susah juga kalau orang tak sabar ni ya. Moral of the story, tak salah nak beli PT, tapi don't trust sangat dengan result dia. Better tunggu BHCG je. Sabar untuk sehari dua lagi. Tapi hanya geng TTC yang tahu penantian itu suatu penyeksaan bukan? Tetapi sekurang-kurangnya dengan BFN itu saya tidak menaruh harapan menggunung dan bersedia dengan apa jua kemungkinan semasa ujian BHCG dijalankan. 

Monday, July 2, 2012

Cara-cara melakukan suntikan di perut

Untuk rawatan IVF yang saya lalui, ada dua jenis hormon yang disuntik bagi merangsang pengeluaran ovum iaitu Buserelin dan Gonal F. 


Buserelin

Gonal F

Buserelin biasanya datang di dalam botol, dan perlu dikeluarkan menggunakan syringe yang dibekalkan. Gonal F pula biasanya datang dalam bentuk pen untuk kemudahan pesakit, atau kadang-kala untuk dos yang kecil boleh datang dalam bentuk serbuk di dalam botol, yang dibekalkan sekali dengan cecair pelarut. Syringe digunakan untuk ambil Gonal F dari botol.

Langkah-langkah untuk memudahkan suntikan ke perut:

Sebelum itu, nih hah! Gigih saya draw pakai paint je pun, nak bagi korang tengok kaedah susunan suntikan saya pada perut. Wah.. Skemanya aku ni! Cucuk perut pun nak ada planning. Betul-betul punya visi dan misi ni.

Kalau rasa ada 40 shots nak suntik, harus korang ikut tips ini! Tapi jangan la pakai marker permanent lak pi titik-titik tanda kat perut. Karang sooami korang semua pelik ingat korang dok inai perut ke ada kudis buta ke. Tapi kalau nak buat, perut korang, ye tak?

Ok.ok. Enuf. Nah step suntik, i bagi uols free gediknye ber i-u


1. Sediakan suntikan yang diperlukan, jangan dah swab perut baru terkial-kial nak masukkan ubat ikut dos. Buang gelembung udara yang ada di dalam picagari untuk mengelakkan gelembung udara menolak semula ubat bila ia telah dicucuk ke dalam perut. Kalau suntikan Gonal-F menggunakan pen, tak usah khuatir kerana dijamin tiada gelembung udara. Longgarkan penutup syringe. Longgarkan je tau, bukan buka habis. Jangan sampai mata jarum untuk suntik terkena mana-mana permukaan meja,kerusi,tangan, kaki apa-apa je la. Bahaya, takut masuk sekali bakteria dan kuman kat kulit kita.

2. Buka seluas-luasnya kawasan perut, swab kawasan perut untuk disuntik. Kawasan suntikan yang sepatutnya ialah dalam lingkungan 2inci (2") dari pusat. Sekeliling ya, sekeliling boleh disuntik. Cuma kalau kawasan atas pusat ada sedikit ngilu. 

3. Ukur menggunakan 2-3jari (seperti nak baca ikrar Pengakap Kelana) dari jarak pusat. Dah confident dengan kawasan yang ingin dicucuk, cengkam sekuatnya lemak yang ada di perut. Saya selalunya cengkam kuat untuk mengurangkan rasa ngilu dan sakit apabila kita cucuk. Cara cengkam; gunakan kelima-lima jari tangan kiri dan cengkam antara 1-2inci dari ibu jari dan keempat-empat jari tadi. Get it? Kalau tak, gigih saya carikan gambar berikut...

Sekadar hiasan, bukan perut saya (-.-)"

4. Masukkan jarum perlahan-lahan. Jangan goyang-goyang jarum itu, kalau tak lagi sakit. Pastikan jarum masuk jangan senget-senget sangat. Tekan habis picagari perlahan-lahan gunakan ibu jari kanan disamping jari yang lain mengampu picagari tu. Ikut selesa korang.

5. Biarkan seketika picagari di dalam perut. Jangan terus cabut. Lepaskan cengkaman tangan kiri perlahan-lahan. Dengan kiraan 10, cabut jarum perlahan-lahan secara selari dengan semasa korang masukkan tadi. Kalau main cabut ikut 'dan' saja, ada darah ikut keluar.

6. Tekan tempat cucukan tadi dengan swab kapas. Baring dalam 30 saat. Selesai



Selamat mencuba! 

Saturday, June 30, 2012

I'm blessed

Saya di antara yang bertuah. Saya tahu itu. Maka saya bersyukur kepada Allah atas kurniaan ini. Ramai yang tidak sedar bertapa bertuahnya mereka yang mudah memperoleh cahaya mata. Namun, masih lagi saya merasakan saya ini bertuah. Dua kali gagal IUI, percubaan IVF pertama saya berjaya. Syukran Ya Allah! Berkali- kali saya ditegur doktor dan jururawat mengatakan saya bertuah kerana percubaan ivf pertama ini berjaya. Nah! Nikmat apa lagi yang ingin engkau dustakan!


Jangan bersedih sekiranya kali ini kita gagal. Allah takkan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri mengubahnya. Begitulah kita, usahalah, cubalah, jangan putus asa. Jangan berundur sebelum berjuang. Jangan pasrah sebelum melakukan apa-apa. Memetik kata abah saya 'Dayus kita jika membiarkannya tanpa berusaha. Duit tu harta dunia, boleh diusahakan pelbagai cara. Selagi ada cara, cuba sahaja semua yang ada. Jangan esok bila tamat waktunya menyesal kerana tidak mencuba'


Everything happen for a reason.


Sedang saya menulis, mata saya menonton Giuliana & Bill di E! salah satu rancangan kegemaran saya. Melihat perjalanan rawatan IVFnya mengembalikan ingatan saya kepada pengalaman sendiri. Sungguhpun saya tidak sebertuah; owh suami G kacak dan kaya; atau dengan erti kata lain, 'sepenakut' G, 40 shots sepanjang rawatan IVF sememangnya meninggalkan kesan, bukan sahaja pada hati malah pada perut sendiri. Hampir tiada kawasan untuk dicucuk walaupun saya atur dan susun elok-elok setiap malam kawasan yang ingin dicucuk tetapi 40 shots (anggaran) bukanlah suatu bilangan yang sedikit. Kadang-kala pada masa yang sama ada 3 shots perlu dimasukkan ke dalam perut. Orang kata, alah bisa tegal biasa. Keazaman mengatasi segala.


Entri akan datang saya tunjukkan cara-cara saya susun dan cucuk ya!


I: Fikir-fikir semula ujian Allah pada saya ketika awal perkahwinan sehingga beberapa tahun selepas itu, kini saya sedar Allah menguji saya dengan seburuk perkara yang boleh berlaku kepada perkahwinan kerana Allah ingin saya bertahan dengan ujian yang lebih besar. 



Thursday, June 28, 2012

Hati-hati semasa memilih rawatan

Dalam determination kita untuk mencuba semua rawatan yang ada, kadang-kala kita perlu berhati-hati takut tersilap langkah dan akhirnya mempertaruhkan akidah dan keimanan kita kepada Allah S.W.T.


Saya pernah disyorkan mencuba rawatan alternatif beberapa pengamal perubatan tradisional. Seboleh-bolehnya kita tidak ingin mengecewakan dan mengecilkan hati rakan-rakan dan saudara-mara yang mengesyorkan tempat itu dan ini. Saya tanyakan dahulu, apa kaedah yang mereka gunakan? Apa yang perlu saya bawa? Apa pengerasnya? Kemudian barulah saya buat keputusan sama ada ingin pergi atau tidak.


Kalau disuruh membawa air mineral sahaja, dan pengamal perubatan alternatif adalah seorang ustaz, insyaAllah saya jejakkan kaki ke sana. Selebihnya, saya akan katakan kepada mereka 'insyaAllah, nanti saya pergi'. 


Namun begitu, pernah terjadi suatu ketika saya berjumpa seorang 'ustaz' yang pernah keluar di TV9 sebagai seorang pengamal perubatan Islam. Dengan susah payah saya dan seorang sahabat pergi ke tempat tinggalnya di Taman Dato' Harun semata-mata ingin berjumpa beliau. Ketika saya tiba, beliau tiada di rumah kerana sedang mengubatkan seseorang di luar kawasan. Saya, suami serta seorang sahabat yang senasib dengan saya dengan sabar menunggu beliau pulang. 


Sebelum bertemunya, saya disuruh membawa bersama 40 biji limau nipis, sebotol cuka dan 1 lagi bahan yang saya terlupa apakah dia. Persepsi pertama bertemunya, hati saya terdetik 'betul ke ni?'


Dengan usia yang saya kira dalam lingkungan 20-an, mungkin saya sedikit prejudis sekiranya saya menganggap ilmunya tak seberapa. Saya hapuskan buruk sangka , mungkin beliau memang berkemampuan mengubat pesakit. Kemudian, saya terganggu pula dengan keadaannya berpakaian. Jeans comot hampir terlondeh kerana tubuhnya yang besar dan berbaju t-shirt serta bersongkok haji. Saya sabarkan juga hati.


Saya dan suami serta sahabat tadi disuruh masuk ke bilik rawatan yang menempatkan sebuah tilam dan rak yang dipenuhi ubatan tradisional serta set-set bekam. Saya dan sahabat disuruh duduk berlunjur dengan tangan saya memegang bahu sahabat saya, serta tangan pengamal perubatan itu ditekan ke kepala sahabat saya. Ayat rukyah dibaca olehnya.


Sungguh, sepanjang bacaan ayat-ayat rukyah tersebut, hati saya tidak tenteram. Ingin saya tamatkan disitu juga sesi itu, bukan kerana sesuatu sedang merasuk saya, namun saya terkejut dengan bacaan tajwidnya. Maaf kiranya saya mengaibkan beliau. Tetapi itulah yang sebenarnya berlaku. Saya amat pasti bacaan surah lazimnya banyak silap di sana sini dan sebutan makhrajnya juga lari.


Sebaik tamat sesi, soalan diajukan kepada sahabat saya tadi. 'Puan rasa sakitkah? kalau sakit bermakna ada suatu gangguan di dalam tubuh puan.' Sahabat saya menjawab dengan lancar,'sakit..sakit sebab ustaz tekan kepala saya kuat sangat.' Saya dan sahabat serta suami saya turut tergelak dengan jawapan selamber itu.


Sebaik keluar dari rumah itu, jirannya melihat kami dengan 'suatu' bentuk pandangan yang sukar saya fahami.
Berjalan menuju ke kenderaan kami, sang sahabat akan bergerak pulang ke Klang manakala saya pulang ke rumah bersama suami. Soalan saya kepada sahabat tadi,


"Kak, akak percaya?"
...
"Entah. Macam berterabur je dia baca. Silap-silap jin pulak kena betulkan bacaan dia"


Jawapan sahabat itu membuatkan kami bertiga sama-sama ketawa. Keluar di kaca TV juga tidak membuatkan ustaz itu benar-benar sahih seorang 'ustaz' yang dapat membantu kita. Wallahualam.


I: Limau itu saya buat teh O ais limau, dan cuka itu hingga kini (3tahun berlalu) masih ada di dalam simpanan dan tidak digunakan. Sejak kejadian itu, lebih-lebih lagi saya berhati-hati memilih rawatan alternatif. Jangan mudah percaya perkara khurafat dan syirik. Khuatir boleh terbatal iman kita kepada Allah. Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada amalan-amalan atau kepercayaan yang membawa kepada murtad. Nauzubillah!

Tuesday, June 26, 2012

Kos rawatan IUI kali ke 2











Bil rawatan untuk IUI kali ke-2. Bilangan kunjungan ke LPPKN tidak seperti kali pertama kerana Doc.K sudah dapat mengagak tindak balas tubuh saya terhadap hormon kesuburan. Maka, Folliova terus diberi sebanyak 4 x suntikan. Tidak semestinya jika sahabat melalui prosedur ini akan melalui step yang sama. Setiap ubat dan kaedah rawatan adalah bergantung kepada case-study doktor masing-masing as well as their own preferences.

Sunday, June 24, 2012

Weekend activity #2

Breakfast lewat dengan menu 'ala cafe LPPKN Jalan Raja Laut'. Heh!
Western breakfast la pula hari ini. 

Baked bean berkurun dalam stok akhirnya terkorban ke dalam perut hari ini, tambah dengan scrambled egg dicampur italian herbs, pepper dan bawang cincang, roti bakar serta ketulan ayam goreng menggantikan sosej. Jam 9.00 pagi En.S masih berlingkar di temani si comel Antenna. Saya dah kentung-kentang di dapur, pun mereka masih tidak bangun-bangun lagi. Sebaik saya meletakkan hidangan di meja tiba-tiba muncul En. S dan Tena. 

Hari ini saya berhajat pergi ke pejabat untuk memindahkan semua barang-barang dari seat sekarang ke bilik baru yang lebih privacy. Menggantikan seorang rakan yang baru menerima tawaran berpindah membuka peluang saya duduk di bilik mempunyai tandas sendiri. Alhamdulillah. Semoga Allah permudahkan urusan hidup saya sepanjang kehamilan ini. Jika tidak, nun jauh di hujung ofis saya duduk. Terpaksa pula menapak ke tingkat 2 semata-mata untuk ke tandas, dan ke tingkat 3 untuk solat. Sudahlah, bilik dipenuhi dengan kaum Adam semata yang kadang-kala 'berasap'. Dengan kedudukan placenta/uri ke bawah, saya khuatir untuk bergerak 'lebih-lebih'. Spotting sebulan yang lalu masih menggegar jantung saya. Terbayang-bayang perkara yang buruk. Mujurlah selepas checkup tempoh hari, Doc. K menerangkan baby terlalu aktif menendang uri sendiri.Tengok Euro ke kat dalam tu sayang.. SubhanAllah! 

Makan lunch McD di luar berkongsi dengan En.S. Big Mac tingkat bawah untuk saya.konon romantik Air Iced Lemon Tea saiz Large menghilang dahaga. Sekarang saya tidak dapat makan dengan portion sebelum mengandung, terpaksa dikurangkan kerana kerap kali muntah semula. 

Petang pula, saya tergerak menyediakan puding roti Mak NaniRostam.Ibu HanisZalikha Sambil-sambil menyediakan hidangan makan malam, Pais Ikan Bawal dan Pelaling bersama sup sayur Siew Pak Choy dan Cendawan.


Penuh aktiviti hari ini, sedikit memenatkan namun sekurang-kurangnya menghilangkan kebosanan. Sudah 10 hari kembali ke rumah sendiri, suami tidak boleh dibiarkan 'berpantang' terlalu lama. Hampir 2 bulan duduk di kampung dijaga emak, saya pun sudah naik lemak hari-hari makan air tangan emak!


I: Saya berdoa supaya uri ini akan naik seiring dengan usia kandungan saya yang semakin bertambah. Tiba-tiba rasa 'nak menangis' bila suami kata tadi 'macam makcik Vietnam tanam sayur', Sampai hati! Gurauan melampau di saat isteri mengandung. 

Friday, June 22, 2012

Kos rawatan IUI

Selongkar-selongkar fail lama, terjumpa bil rawatan IUI kali pertama. Boleh la jadikan rujukan






















Sebab ada yang bertanya kos rawatan lama dahulu daripada 1st step HSG, saya pun hampir terlupa. Tapi usaha punya selongkar saya dapat serba sedikit resit-resit yang saya masih simpan.


HSG (Hydrosalpingogram) - untuk diagnos tiub fallopio dan keadaan rahim. 
Caranya: cecair contrast dipam masuk ke dalam faraj dengan keadaan anda berbaring. Kemudian, kawasan peranakan anda akan di x-ray maka cecair contrast tersebut akan menunjukkan sekiranya ada blocking atau tidak. Cecair ini turut berkemampuan untuk menghilangkan tiub-tiub yang tersumbat/blocking yang tidak kronik. 
KOS di Hospital Tawakal RM180 (setakat ini kos yang paling murah adalah di Hospital Tawakal. LPPKN tidak menyediakan perkhidmatan HSG ini, jadi anda akan di'refer' ke mana-mana hospital yang anda suka). Saya sempat survey di hospital swasta lain, kosnya boleh mencecah RM350.
Rahim anda akan sedikit tidak selesa semasa prosedur ini. Selesai X-ray, anda akan digolek ke kiri dan kanan untuk membiarkan cecair itu mengalir. Prosedur ini tak lama, lebih kurang 10 minit. Sebaiknya anda terus sahaja ke tandas selepas itu untuk mengeluarkan cecair yang tetinggal di dalam rahim anda. Ada yang mengalami 'bloated' selepas rawatan HSG. Jangan bimbang, ianya akan surut seperti biasa. 


SA (Sperm Analysis) di LPPKN : RM 50.00
SA tak sama seperti SST (Sperm Survival Test). SA adalah prosedur pertama yang dikenakan kepada suami untuk mengira bilangan sperm, saiz, aktif dan sebagainya. SST khas untuk prosedur IVF sahaja.


Saya dan suami juga pernah berjumpa dengan pakar sakit tuan , Dr. Ismail Thamby di LPPKN Shah Alam. Kos yang dikenakan;
RM5.00 untuk Fi Pendaftaran Seksualiti
RM20.00 untuk perundingan
Tanyalah apa sahaja kepada Dr.Ismail Thamby. Beliau akan menerangkan sejelas-jelasnya sehingga saya pula yang malu untuk mendengar di samping suami. 
Jika dahulu, LPPKN akan mengkhaskan setiap hari Rabu untuk hari sakit tuan di LPPKN Jalan Raja Laut, namun kini tiada lagi.

Perjalanan menggapai impian

Seingat saya, telah pelbagai cara dilakukan sebelum saya melalui prosedur IVF dalam menggapai impian memperolehi zuriat. Yang mana serba sedikit saya masih ingat, saya titipkan di sini. Mungkin ada di kalangan sahabat-sahabat yang pernah melakukan lebih daripada ini, maka bolehlah sama-sama kita kongsikan pengalaman kalian ya!


Sebelum didiagnos dengan masalah Hidrosalpinx, kebanyakan masanya saya mengambil makanan tambahan dari pelbagai jenama. Dari teknik penjagaan makanan dan kesihatan, urutan, dan akhirnya saya mencuba kaedah moden.


1. Biodex


Siapa tak kenal dengan supplement ini kan. Boleh dikatakan meluas rakan-rakan senasib memperkatakan tentang produk ini. Tak terkecuali pakcik makcik, jiran tetangga dan sahabat handai yang 'gatal mulut' menasihatkan kita mencuba produk ini kerana glamournya keluar di kaca TV. Saya sempat mengambil produk ini untuk tiga set. Setiap set untuk suami dan isteri kosnya kira-kira RM400 untuk 2 minggu. Saya berhenti mengambil produk ini apabila salah satu daripada lesen produknya ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Hairan bukan?


2. Dr. Philip Kohler/Michelle Lazar


Produk ini asalnya saya ambil bagi mengatasi masalah kulit muka yang semakin kusam, berjerawat dan meninggalkan parut. Ketika itu pula saya rasakan saya sanggup berhabis berapa sahaja kerana jiwa sedang rusuh diperlakukan suami. Saya menyangkakan Dr.Philip Kohler ini sememangnya seorang doktor pakar merawat kulit, rupa-rupanya ia merupakan satu jenama. Selain produk kulit, saya ditawarkan cecair supplement dengan 'gula-gula' bahawa kebanyakan masalah kesuburan dapat diatasi dengan produk minuman daripada jenama tersebut. Setelah menggunakan selama 6-8 bulan, saya berhenti mengambil kedua-dua produk kulit dan kesihatannya kerana merasakan tiada sebarang perubahan berlaku. Mungkin sedikit parut di wajah semakin pudar, tetapi kulit saya yang saya sendiri sedia maklum mudah imun pada setiap produk yg saya gunakan.


3. Jamu Makjun Anggun Bestari (MAB) Dan Makjun Unta untuk suami


Makjun ini boleh menjadi pil perancang dalam pada masa yang sama boleh juga merawat masalah dalaman wanita. Ia dipercayai boleh mengeluarkan sisa-sisa  haid yang lama, mengetatkan vagina serta menghilangkan keputihan. Saya rasa kemujaraban makjun ini terletak pada peningkatan dalam kehangatan hubungan suami isteri. Suami turut memuji dan merasa perubahannya. Haid semakin teratur dengan amalan mengambil makjun ini. Saya mengambilnya selama tiga bulan berturut-turut bagi memperbaiki hubungan suami isteri. Makjun Unta saya hadiahkan untuk suami, tetapi suami jenis tidak konsisten mungkin kerana itu kemujarabannya tidak dapat dikenalpasti.


4. Pil herba Maharani keluaran Hai-O Marketing


Di kedai ubat cina ada turut dijual 'pil mutiara' ini. Jenama sahaja berbeza. Asalnya saya tidak tahu yang dijual di kedai ubat cina adalah yang sama seperti Pil Herba Maharani ini. Ini kerana seorang Nyonya telah menuliskan nama ubat ini di dalam bahasa Cina dan menyuruh saya mendapatkannya di kedai ubat SingSe. Setelah dibeli, baru saya sedar bahawa ianya sama seperti pil Maharani yang saya beli dari dealer Hai-O. Ada sahabat yang memakan sebutir halus pil ini, padahal cara sebenarnya ialah menelan 1biji atau sekurang-kurangnya separuh biji (mengandungi berpuluh-puluh butiran kecil pil) setiap pagi selepas makan. Di dalam kotak Pil Herba Maharani terdapat enam kotak yang cantik-cantik. Cukup untuk bekalan selama enam hari sahaja. Saya ambil untuk dua kotak. Kemudian saya berhenti mengambilnya kerana suami tidak tahan 'kesan' ubat itu kerana hampir setiap hari saya 'ganggu' tidurnya. Faham-faham sendiri lah! Saya juga terkejut dengan perubahan 'keinginan' itu, patutlah namanya Maharani.


5. Korset Beautiful keluaran Hai-O Marketing


Korset ini saya ambil dengan harga yang cukup murah. Secara kebetulan ada dealer yang ingin menjual set baru cukup murah, entah kenapa. Saya ambil atas dasar ingin menghilangkan sakit bahu dan belikat saya dengan harapan hilangkah kesakitan itu. Namun, akhirnya hampa kerana sakit pinggang saya tetap begitu. Seorang dealer di pejabat tak habis-habis promote suruh saya beli dengan 'gula-gula' ianya boleh membantu mendapatkan zuriat.Sedikitpun saya tidak percaya! Sama seperti pembelian BioAura, saya selalunya membeli kerana membantu mereka-mereka yang terdesak untuk menjual atas tuntutan bayaran balik pinjaman daripada pihak bank yang mereka tidak dapat dilunaskan.


6. Buah Zuriat


Buah ini saya kirim dari pakcik yang pergi mengerjakan haji. Kepulangannya bukan sahaja berbekalkan tiga biji buah zuriat, malah dibekalkan juga serbuk kurma. Terima kasih Pakcik! Buah ini cara penyediaanya perlu dikupas kulit luarnya sehingga hilang semua sabut, direbus sebiji (jangan dibelah) dengan jumlah air rebusan menjadi separuh daripada jumlah asal. Warna air rebusan bertukar keunguan seperti air ribena. Buah tersebut boleh direbus beberapa kali sehingga hilang rasa dan warnanya.


7. Serbuk Kurma dan Madu


Penyediaannya mudah. Campurkan sebotol serbuk kurma dengan 1kg/1liter madu asli dan dikacau. Agak sukar untuk menjadikan kedua-dua madu dan serbuk kurma ini sebati kerana tekstur serbuk kurma yang lebih ringan dan halus, manakala madu pula berat. Setiap kali ingin dimakan, campurkan dengan susu kambing. Kalau malas seperti saya, saya campurkan sahaja dengan susu tepung instant suam-suam dan diminum setiap pagi dan malam. 


8. Air rebusan beras dicampur 7 biji kismis
Semasa menanak nasi, lebihkan sedikit airnya. Apabila air telah mendidih, ceduk sedikit ke dalam cawan dan campurkan dengan kismis dengan bilangan ganjil (3,5,7). Sertakan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W sebelum minum.


9. Krim Lumiglow
Sapukan krim ini di sekitar perut dan rahim. Krim ini boleh juga digunakan untuk menghaluskan kulit wajah.


10. Kit Ovulasi
Ovulation Tester kelihatan sama seperti Pregnancy Tester. Kit ini digunakan semasa hampir tempoh ovulasi bagi mengetahui masa yang tepat pengeluaran ovum. Saya sendiri tidak mahir menggunakan kit ini kerana kitaran haid tidak tetap 28 hari. 


11. Termometer mengesan Ovulasi
Catat bacaan suhu badan sebaik bangun daripada tidur setiap hari. Pada hari ovulasi berlaku, suhu badan akan meningkat lebih sedikit. Itu menandakan ovum sudah bersedia untuk dilepaskan. 


12. Kaedah urutan
Kalau di US mereka gelarkan Wurn Technique. Boleh lihat entry ini. Setiap sebulan sekali, atau setiap dua minggu saya akan berurut. Selain melegakan urat-urat saraf, dapat juga membetulkan peranakan. Sasaran untuk melengkapkan 60jam urutan tidak berjaya. 

13. Acupuncture/ bekam
Kaedah ini saya cuba sebanyak 2 kali untuk membuang darah kotor di dalam badan. Tidak rasa sangat kelainan dalam badan, mungkin wanita-wanita tak perlu berbekam darah kerana setiap bulan bukankah kita secara semulajadi membuang 'darah kotor'? Boleh lihat entry ini.


14. Diet sihat
Saya sendiri menghadkan pengambilan kalori dalam menu harian. Pagi hanya makan 3 ketul kuih bersama secawan air panas. Makan tengah hari dikurangkan portionnya. Makan malam saya pastikan sebelum jam 8.00 malam. Kadang kala, saya hanya minum oat pada waktu pagi. Semua ini sebelum saya laksanakan prosedur IVF memandangkan berat semakin bertambah sejak memulakan rawatan secara intensif daripada LPPKN. Mungkin terlalu banyak suntikan hormon telah menaikkan berat saya daripada 45kg kepada 58kg.


15. Dr.Nano Labcell


Sebenarnya selain saya berdiet, saya juga telah mengambil pakej 20sesi Dr Nano daripada groupon dengan hanya RM98. Bersama suami boleh dikatakan setiap minggu kami penuhkan masa untuk ke slimming centre ini. Untuk kesihatan dan menghilangkan stress. Saya berjaya turun 2kg dalam 1 bulan di samping diet sihat dan exercise, manakala suami berjaya turun 4kg. Pakej tidak berjaya dihabiskan kerana saya telah memulakan prosedur rawatan IVF penghujung Februari lalu. Pakej ini termasuk urutan, pelangsingan menggunakan mesin dan krim khas, serta sauna. Oh! Hampir saya pitam sebaik keluar dari kebuk sauna kerana itulah pertama kali saya di'kukus' begitu!


16. Senaman/ Larian atas Penginjak (Treadmill)
Saya survey di mudah.my hampir setiap hari sebelum berjaya membeli threadmill second-hand RM200. Hati gembira tak terkata! Mana mampu nak beli 2ribu-3ribu, sedangkan duit yang dikumpul hanya untuk IVF.


17. Clomid
Pil hormon ini saya makan sebanyak 3 kali kitaran haid sebelum saya ambil keputusan untuk berhenti rawatan di Hospital Pakar Metro. Pada waktu itu, saya masih baru memulakan rawatan kesuburan maka saya belum lagi pergi ke LPPKN yang jauh dari tempat kerja. Saya tahu, untuk mengurangkan kos rawatan, saya perlu berkorban memohon pertukaran tempat kerja yang lebih dekat dengan Kuala Lumpur. Jarak dari Banting-Kuala Lumpur tidak memungkinkan saya untuk berulang-alik nanti. Jabatan meluluskan perpindahan saya ke kawasan Kajang, dari situlah rawatan intensif saya bermula.


18. IUI
Sebaik bertukar kerja ke tempat baru, saya tidak membuang masa lebih lama. Tahun 2010 bulan Mac, kali pertama kaki saya menjejak tangga LPPKN Jalan Raja Laut. Di situlah perjalanan rawatan yang tidak berkesudahan. Dua kali gagal IUI, saya rasakan saya masih bertuah kerana mungkin ada sahabat yang sudah mencuba rawatan IUI untuk kali ke-10! Rawatan IUI kurang cerewet. Ubat hormon yang perlu disuntik juga tidak banyak. Prosedur memasukkan benih suami yang telah melalui proses Sperm Wash juga mudah. Apabila disyorkan oleh Doc.K untuk IUI kali ke-3, saya menolak dengan baik kerana merasakan masalah Hidrosalpinx ini yang menyebabkan kegagalan percantuman benih. Saya tidak menidakkan kuasa Allah. Kalau Dia berkata 'Jadi' maka "Jadilah!". Perasaan tertekan kerana kegagalan itu juga menjadi titik tolak saya berazam untuk mencuba IVF. Saya pernah merasakan kegagalan itu, walaupun saya sedar sekiranya saya gagal IVF kekecewaan itu tidak akan sama seperti kegagalan IUI. Bulan November 2010 adalah kali terakhir saya ke LPPKN sebelum mengambil masa untuk menenangkan diri dan mengumpul dana untuk IVF. Saya tahu kunjungan saya seterusnya perlu dengan keazaman, tawakal, kesabaran dan persediaan mental fizikal yang paling baik!


19. IVF
Kunjungan saya pada Oktober 2011 ke LPPKN adalah hanya untuk sesi kaunseling bersama doktor. Doc.K menerangkan dengan jelas prosedur IVF yang akan memerlukan masa dan kewangan yang 'memenatkan'. Ketika itu pula LPPKN sedang dalam proses penambahbaikan infrastruktur, maka saya diminta datang semula pada tahun 2012. Setelah ulangtahun perkahwinan saya ke-7 pada Februari 2012, saya tahu saya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran ini. Sokongan suami pada saat itu adalah ubat paling mujarab. Daripada seorang yang takutkan jarum dan darah, suami saya berjaya membuang perasaan ngeri dan ngilu apabila beliau sendiri kebanyakkan masanya menyediakan jarum suntikan dan ubat untuk dicucuk ke perut saya. Terima kasih sayang! Saya tahu, ianya mengambil masa yang lama untuk mencapai persefahaman dan komitmen semasa rawatan ini. Suami saya pernah melalui fasa 'tak endah' dan 'tak suka' lebih-lebih lagi pada ketika rawatan itu dijalankan kami sedang dihimpit masalah kewangan. Saya tabahkan hati, saya katakan padanya bahawa saya sanggup menanggung segala kesakitan dan berkorban semua harta saya, saya hanya perlukan sokongan moralnya. Saya perlukan benih darinya. Dia tidak perlu menanggung apa-apa kesakitan. Saya rela tanggung semuanya. Saya inginkan zuriat kami berdua. Akhirnya suami turut berubah menjadi seorang yg optimis dan positif. Saya tahu egonya sedikit jatuh kerana beliau tidak mampu untuk menyumbang dengan baik dari segi kewangan, tetapi saya redha dan tidak meminta-minta diluar kemampuannya. Saya tahu beliau seboleh-bolehnya cuba menanggung keperluan lain yang beliau mampu, membayar parking, makan dan minum kami mujur ada Pakcik Ebay... Cuma saya berharap suami mengenang detik-detik kesusahan ini apabila beliau ditakdirkan berjaya suatu hari kelak. 


Yang paling utama dan penting sebenarnya ialah Solat Hajat/Solat Taubat/Amalan Membaca Al-Quran/ Sedekah. 

I: Sekadar renungan kita bersama. Saya bukan seorang yang hanya akan bercerita peristiwa yang 'manis-manis' sahaja. Inilah hakikat kehidupan saya, ada kegembiraan dicelah kepedihan dan tak selalunya indah. Bersyukurlah kamu dengan apa yang kamu miliki, kerana andai kamu bersyukur Allah akan menambah lagi nikmat kamu! Maafkan saya kerana menulis sejujurnya.