Sunday, September 30, 2012

'Affair' : Topik tabu dalam perkahwinan?



Mengapa sejak akhir-akhir ini saya sering mengeluarkan kenyataan tentang 'affair' di dalam perkahwinan?
Kalau disebut hubungan sulit, seperti 'geli' pula ingin menyebut.


Sebenarnya, sekiranya perkahwinan anda tidak pernah diuji dengan kehadiran orang ke-3, anda sememangnya cukup bertuah!





Kepedihan kehadiran orang ke-3 di dalam hidup amat sukar diubati, walaupun hati kiranya sudah memaafkan. Sepertimana gelas yang pernah retak dan dicantum semula, bekasnya masih ada. Jalur-jalur keretakan sentiasa kelihatan, belum tentu pula gelas tersebut boleh digunakan walaupun selepas digam dengan gam yang paling kuat. Air yang dituang mampu menitis keluar. Hati kita begitu jua. Ada ruang-ruang untuk kembali mengenang kisah pahit lalu.


Dalam hidup saya, sememangnya malu untuk mengakui pernah hadir orang ke-3 di saat awal perkahwinan lagi. Sesuatu yang dahulunya saya pendam sendiri. Hanya rakan karib saya yang mengetahui, keluarga jauh sekali untuk saya beritahu. Nah! Kini saya tidak lagi tertutup dengan isu ini. Bagi seorang insan seperti saya, keterbukaan ini serasanya kerana hati ini telah sedikit demi sedikit dapat menerima kekurangan di dalam perkahwinan. Hidup tak selalunya indah bukan?


Walaupun peristiwa itu perit untuk dikenang, kadang-kala hadir tanpa diundang, tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana ianya kini menjadi peringatan buat saya dan En.S dan peringatan itu datang di saat tahun pertama perkahwinan.


Bagaimana saya mampu bertahan? Kalau yang mengikuti kisah saya, pasti ada yang bersimpati. Teruskan bersimpati, kerana saya juga dahulu bersimpati dengan nasib sendiri . Soalan yang sama saya pernah lontarkan kepada emak, bagaimana dia mampu bertahan, saat perkahwinannya juga pernah diuji. Ketika itu usia perkahwinan emak menjangkau 30 tahun. Sabar. Hanya itu sahaja pesan emak. Kini saya sedar mengapa perkahwinan Mak Bapak kita dahulu kala tetap utuh, walaupun si suami panas baran, beristeri empat, hilang tanggungjawab dan sebagainya.


Setiap perkahwinan ada pasang surutnya. Hari ini melangit kita sayangkan suami, esok lusa peratusannya mungkin jatuh, kerana terdapat anasir-anasir luar yang negatif, syaitan yang menghasut anak Adam. Semakin saya dewasa, pelbagai peristiwa berlaku di sekeliling saya yang membuatkan otak saya ligat berfikir, mengambil natijah setiap perkara.


Pernah berlaku di kalangan keluarga, si suami seorang driver berusia 40-an, meninggalkan isteri dan anak tiga untuk wanita lebih muda, seorang janda berusia 20-an. Ke hulu ke hilir diangkut wanita itu saban malam, belanja makan, berkaraoke, hujung minggu di Baskin Robbin, Secret Recipe dan kedai-kedai makan ber'kelas'. Kita yang menyelinap di MukaBuku si janda tadi ikut berbulu mata, menggedik bagai, menggesel tubuh putih gebu dan bergetah lagi di sisi si driver. Tanpa segan silu pula si janda dan si pemandu ber'sayang-sayang' di MukaBuku yang pasti dapat menjadi tontonan umum. Bayangkan bagaimana perasaan anak dan isteri tadi andai terjumpa si suami bersama si 'affair'?


Kalaulah saya boleh kata di wajah si driver tadi. "Kahwin sahajalah, dari buat maksiat!"
Apabila ditegur seorang saudara di MukaBuku, marah pula si driver. Memalukannya di MukaBuku katanya. Oh. Yang Teran-terangan bermesej 18sx di MukaBuku awak tak malu? Dihamunya si pemberi nasihat, 'aku tahu aku driver, belajar tak tinggi, kau yang pendidik tu sepatutnya tahu hormat orang tua'. Saya yang menjadi pemerhati serasa ingin tergelak.


Oii. Ini tiada kena mengena dengan tahap pelajaran dan pekerjaan manusia. Ini soal kematangan, berfikiran waras dan common sense. Seperti nak kencing, takkan kita pergi ke akuarium pula, mestilah ke tandas. Tak perlu sindir si saudara yang berpelajaran kerana menegur, itu sudah menjadi kewajipannya bagi menghalang maksiat. Cuma mungkin si saudara tadi menegur terang-terangan di Dinding MukaBuku.


Benar. Topik tabu ini tiada kena mengena dengan tahap pendidikan seseorang jauh sekali pekerjaannya. Pasangan kaya boleh diuji, yang kurang berada juga tak terkecuali. Sebenarnya hanya akal dan minda yang waras boleh menentukan baik-buruk suatu perkara!



bersambung...



Friday, September 14, 2012

Childhood Memories Episode 2



Kecil dulu aku macam perangai boyish. Pakaian tidak melambangkan jiwa. Mak suka aku pakai skirt dan gown. Aku pakai juga lah, sebab abang-abang aku kata kalau perempuan pakai seluar jeans nanti 'Amnah Gila' kejar. Makanya, dengan skirt itu lah juga aku berkayuh basikal keliling kampung. Pergi kandang lembu kambing pun aku pakai skirt juga. Kena kejar dengan angsa peliharaan jiran dan disepit di skirt sampai terlucut. Cinabeng punya angsa!


Berani tinggal sorang-sorang? Tidakkkkk!

Antara semua abang-abang, aku paling rapat dengan abang di atas aku. Walaupun dia kaki sakat, tapi bontot dia jugalah yang aku mengekor. Dia usung basikal besar, aku usung basikal kecil dia dulu membontot dia. Kawan-kawan abang aku kawan aku juga. Kalau setakat main baling tin, baling selipar, galah panjang, polis-sentri usah cerita la, mesti aku join sama.


Kisahnya suatu hari, abang aku dan kawan dia pergi mancing. Aku tak nak tinggal, dengan berskirt dan selipar bertumit yang dibelikan emak, aku membontot abang ke hujung kampung di kawasan paya. Kawasan tu 'keras' sikit. Masa tu pun dah nak hampir senja. Dapat ikan seekor dua, abang aku suruh tunggu kejap, aku pun mencangak sorang-sorang kat tepi paya tu. Dengan selut dah penuh di selipar. Tunggu-punya tunggu, makin gelap. Tak banyak cerita, aku gagahkan diri menyusup celah-celah belukar, dengan sedu-sedan sebab rasanya aku tahu abang sengaja dajal tinggalkan aku. 


Dengan air mata meleleh-leleh sedih yang amat, betis penuh gigitan nyamuk, selipar berselut penuh, jauh juga aku nak berjalan kaki balik rumah. Sampai di rumah, aku tengok abang tengah kena belasah dengan mak. Aku dengar mak marahkan dia tinggalkan aku seorang di paya yang 'keras' itu. Gurauan dia melampau batas kali ini. Aku ingatkan aku selamat sebab teraniaya, rupanya masuk-masuk pintu rumah mak bagi upah cubit kat aku. Mak jarang naik tangan, jadi bila kena cubit tu aku serik la sekejap. Hehe. 




2-3 hari kemudian, aku mengekor semula abang aku. ^_________^


I: Agaknya kalau masa tu Puteri Bunian yang abang aku penah terserempak tu jumpa aku, macam mana aku sekarang?