Sunday, September 30, 2012

'Affair' : Topik tabu dalam perkahwinan?



Mengapa sejak akhir-akhir ini saya sering mengeluarkan kenyataan tentang 'affair' di dalam perkahwinan?
Kalau disebut hubungan sulit, seperti 'geli' pula ingin menyebut.


Sebenarnya, sekiranya perkahwinan anda tidak pernah diuji dengan kehadiran orang ke-3, anda sememangnya cukup bertuah!





Kepedihan kehadiran orang ke-3 di dalam hidup amat sukar diubati, walaupun hati kiranya sudah memaafkan. Sepertimana gelas yang pernah retak dan dicantum semula, bekasnya masih ada. Jalur-jalur keretakan sentiasa kelihatan, belum tentu pula gelas tersebut boleh digunakan walaupun selepas digam dengan gam yang paling kuat. Air yang dituang mampu menitis keluar. Hati kita begitu jua. Ada ruang-ruang untuk kembali mengenang kisah pahit lalu.


Dalam hidup saya, sememangnya malu untuk mengakui pernah hadir orang ke-3 di saat awal perkahwinan lagi. Sesuatu yang dahulunya saya pendam sendiri. Hanya rakan karib saya yang mengetahui, keluarga jauh sekali untuk saya beritahu. Nah! Kini saya tidak lagi tertutup dengan isu ini. Bagi seorang insan seperti saya, keterbukaan ini serasanya kerana hati ini telah sedikit demi sedikit dapat menerima kekurangan di dalam perkahwinan. Hidup tak selalunya indah bukan?


Walaupun peristiwa itu perit untuk dikenang, kadang-kala hadir tanpa diundang, tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana ianya kini menjadi peringatan buat saya dan En.S dan peringatan itu datang di saat tahun pertama perkahwinan.


Bagaimana saya mampu bertahan? Kalau yang mengikuti kisah saya, pasti ada yang bersimpati. Teruskan bersimpati, kerana saya juga dahulu bersimpati dengan nasib sendiri . Soalan yang sama saya pernah lontarkan kepada emak, bagaimana dia mampu bertahan, saat perkahwinannya juga pernah diuji. Ketika itu usia perkahwinan emak menjangkau 30 tahun. Sabar. Hanya itu sahaja pesan emak. Kini saya sedar mengapa perkahwinan Mak Bapak kita dahulu kala tetap utuh, walaupun si suami panas baran, beristeri empat, hilang tanggungjawab dan sebagainya.


Setiap perkahwinan ada pasang surutnya. Hari ini melangit kita sayangkan suami, esok lusa peratusannya mungkin jatuh, kerana terdapat anasir-anasir luar yang negatif, syaitan yang menghasut anak Adam. Semakin saya dewasa, pelbagai peristiwa berlaku di sekeliling saya yang membuatkan otak saya ligat berfikir, mengambil natijah setiap perkara.


Pernah berlaku di kalangan keluarga, si suami seorang driver berusia 40-an, meninggalkan isteri dan anak tiga untuk wanita lebih muda, seorang janda berusia 20-an. Ke hulu ke hilir diangkut wanita itu saban malam, belanja makan, berkaraoke, hujung minggu di Baskin Robbin, Secret Recipe dan kedai-kedai makan ber'kelas'. Kita yang menyelinap di MukaBuku si janda tadi ikut berbulu mata, menggedik bagai, menggesel tubuh putih gebu dan bergetah lagi di sisi si driver. Tanpa segan silu pula si janda dan si pemandu ber'sayang-sayang' di MukaBuku yang pasti dapat menjadi tontonan umum. Bayangkan bagaimana perasaan anak dan isteri tadi andai terjumpa si suami bersama si 'affair'?


Kalaulah saya boleh kata di wajah si driver tadi. "Kahwin sahajalah, dari buat maksiat!"
Apabila ditegur seorang saudara di MukaBuku, marah pula si driver. Memalukannya di MukaBuku katanya. Oh. Yang Teran-terangan bermesej 18sx di MukaBuku awak tak malu? Dihamunya si pemberi nasihat, 'aku tahu aku driver, belajar tak tinggi, kau yang pendidik tu sepatutnya tahu hormat orang tua'. Saya yang menjadi pemerhati serasa ingin tergelak.


Oii. Ini tiada kena mengena dengan tahap pelajaran dan pekerjaan manusia. Ini soal kematangan, berfikiran waras dan common sense. Seperti nak kencing, takkan kita pergi ke akuarium pula, mestilah ke tandas. Tak perlu sindir si saudara yang berpelajaran kerana menegur, itu sudah menjadi kewajipannya bagi menghalang maksiat. Cuma mungkin si saudara tadi menegur terang-terangan di Dinding MukaBuku.


Benar. Topik tabu ini tiada kena mengena dengan tahap pendidikan seseorang jauh sekali pekerjaannya. Pasangan kaya boleh diuji, yang kurang berada juga tak terkecuali. Sebenarnya hanya akal dan minda yang waras boleh menentukan baik-buruk suatu perkara!



bersambung...



1 comment:

  1. Indah, mmg betul kata ur mum... Sabar tu sebenarnya kunci perkahwinan. Biasa la asam garam rumahtangga... Ada pasang surutnya.

    ReplyDelete