Saya mengagahkan diri menulis.
Sebaik usai solat, saya hanya bergolek-golek dengan lappy di depan televisyen. Tiada apa yang menarik perhatian, kerana televisyen itu saya biarkan mati. Malam Jumaat begini, tiada apa rancangan menarik di TV. Berbalik-balik cerita seram, cerita hantu, dan cerita-cerita yang akan menambahkan kecut perut apabila bersendirian kelak.
Sudahnya, saya berfikir lebih baik di muat-naik gambar-gambar yang sempat diambil ketika 'balik' ke Kedah hujung minggu nan lalu. Kualitinya kurang memuaskan, kebanyakannya diambil ketika kereta sedang bergerak. Sebolehnya saya cuba merakam segenap inci pelosok yang saya lalui. Menjejak kembali kenangan-kenangan lama 5 tahun lalu. Pantasnya masa berlalu.
Mengapa saya gunakan perkataan 'balik'? Entahlah, Jitra sudah sebati dengan saya. Saya merindui suasana kampung, keenakan makanannya yang pasti murah, rakan-rakan, jiran-jiran dan segala tentangnya adalah manis belaka. Di sana saya belajar berdikari, jauh dari keluarga, sakit-pening ditanggung sendiri. Dengan gaji tidak menjejak empat angka, saya masih mampu menyara diri, membayar ansuran kereta, menyewa rumah dan ada masa bersuka-ria.
Indahnya tahun 2002-2006. Di sana bermula perjalanan hidup saya. Di sana saya kenal erti kematangan. Apabila mengenang rakan-rakan dahulu, hati saya mudah sebak, kerana mereka adalah manusia-manusia tulus, rakan-rakan yang amat baik, menjalin ukhuwah dengan ikhlas. Hidup kami amat simple, bertungkus lumus di tempat kerja, sebaik pulang akan beramai-ramai mencari gerai laksa atau pasembor supaya dapat berborak kosong dengan erti kata lain bergosip untuk meredakan ketegangan seharian.
Tiada hiruk pikuk manusia. Laluan sentiasa lancar. Adapun kesesakannya hanya kerana ibubapa yang menghantar anak-anak ke sekolah. Selainnya, keadaan cukup selesa. Melalui ban, denai, dan menyusuri jalan-jalan kampung itu umpama suatu terapi minda yang mengasyikan; percuma.
No comments:
Post a Comment