Wednesday, December 7, 2011

SIAPA AKU DI SISIMU

Kuliah BPS1123 dari Professor Osman Akbar telah 10minit bermula. Mas masih belum melihat kelibat Ilham di dalam kuliah. Dewan kuliah yang boleh menempatkan hampir seratus mahasiswa menyukarkan penelitian Mastura mencari kelibat Ilham Maya. Hatinya gusar dan bimbang kerana sejak malam tadi Ilham tidak pulang ke asrama. 

"Tidur rumah tuan rumah dia lagi ke?" desis Mastura di dalam hati. 

Semakin kerap Mastura melihat Ilham bermalam di rumah majikannya. Kini, Ilham juga sudah tidak memberitahu Mastura apabila majikannya mengarahkan Ilham untuk bermalam ditempat kerja. Mastura mula sangsi. Banyak sangatkah kerja Ilham di rumah tersebut? Ilham juga jarang membuka cerita tentang majikannya. Yang Mastura tahu, majikannya itu sememangnya seorang yang tegas dan garang. Kerapkali Mastura terdengar Ilham ditengking semasa menerima panggilan telefon dari majikannya. 

"Kriukkkkk..."
Semua mata tertumpu ke pintu dewan. Engselnya ketat mengeluarkan bunyi berkeriuk menarik perhatian setiap mahasiswa malah Prof. Osman juga menoleh. Profesor yang terkenal kerana ketegasannya itu seolah tidak memberi reaksi kepada mahasiswi yang lewat hampir 15minit ke kuliahnya.

Sekadar memberi senyuman dengan penuh rasa bersalah dan malu yang menebal kerana diperhatikan hampir keseluruhan dewan kuliah, Ilham merasakan derap kakinya terlalu perlahan untuk mengambil tempat duduk. Mendengar bisikan dari arah belakang dewan membuatkan Ilham menoleh. Mastura melambai-lambai Ilham memanggilnya duduk di sebelahnya.


"Bos kau suruh kau tidur di rumah dia lagi ke?"

Ilham sekadar mengangguk-angguk kecil. Tidak berani berkata sepatahpun takut mengundang kemarahan Prof. Osman. Sudahlah dia kelewatan, takkan mahu ditambah kelalaiannya dengan perbualan yang boleh ditangguh pula. 

Nota kecil yang baru ditulisnya diunjuk kepada Mastura. Mastura pula yang mengangguk. Faham bahawa Ilham tidak mahu sebarang perhatian dari Prof Osman. 


Sebaik keluar dari kuliah tersebut, Mastura berlari-lari anak mengejar Ilham yang telah jauh di hadapannya. Mengejar masa untuk ke kuliah seterusnya.

"Woi! Sabar la woi.. Kau ni nak jalan laju-laju dari aku kenapa? Penat la aku tunggu kau malam tadi tak balik-balik. Apasal tak telefon dari rumah bos kau? Banyak sangat ke kerja kau kat rumah tu sampai terpaksa tidur sana? Minggu ni je dah 3 kali kau terpaksa bermalam. Kalau macam ni silap-silap haribulan bos kau tu suruh kau angkat semua kain baju kau dan kerja 24 jam di sana!"
Soalan bertubi-tubi Mastura merimaskan Ilham. Namun dia tahu itu juga salahnya kerana menyebabkan kebimbangan pada Mastura. Soalan yang tidak mendapat respon dari Ilham menjengkelkan Mastura.

"Ehh..Kau ni badak masuk air dalam telinga pun tak berapa pekak macam ni lah! Penat aku tanya ni weii..Jawab la"

Ilham antara hendak tak hendak menjawab perlahan.

"Ya, semalam aku sampai ke rumah bos aku lewat sikit. Maka masa dinner pun dah ter'drag' sampai jam 9 malam. Bos aku pulak lepas tu mintak mop lantai lepas habis dinner. Tengok-tengok dah jam 11.00malam. Dia suruh la aku tidur terus kat sana. Siapa pulak la nak hantar aku balik sini dah malam-malam buta."

"Kau ni..Handphone ada buat apa? Baik ko jual timbang kilo je kalau tak reti guna. Aku bukan apa, kalau aku call aku berani kerat jari la kau tak angkat. SMS apatah lagi. Haremmm"

Bibir Mastura tercebir-cebir sambil mengutarakan ayat tersebut. Ilham akur, setiap kali dia di rumah Ammar, dia tidak berpeluang seminit pun untuk berehat. Ada saja kerja yang akan diberikan Ammar. Baik kerja-kerja rumah sehinggalah tugasan-tugasan kuliah. Malah, akhir-akhir ini semakin kerap pula Ammar menyuruh Ilham menyiapkan tugasan-tugasan kuliahnya seolah-olah Ammar memang sudah merancang dari awal apa kerja yang akan diberikan kepada Ilham setiap hari. Dan kerana itu juga Ilham terpaksa bermalam di rumah Ammar demi menyiapkan tugasan-tugasan serta nota kuliah Ammar.Ilham juga sering keletihan di dalam kuliah kerana tidurnya kini sering tidak berjadual, dan acapkali Ilham tertidur di atas nota kuliah Ammar.

"Kalau macam itu Mas, jangan nanti takde pulak jari manis kau untuk sarung cincin kawin. Habis, dah kena kerat mana nak letak jari manis tu?"

"Kau, kalau aku cakap ada je loyar kau. Patut kau ni ambil course Law la Ilham. Jangan ambik bisnes"

Di dalam hati Ilham turut mengiyakannya. Sekurang-kurangnya Ilham berpeluang mempertahankan hak wanita lain sekiranya dia mengambil jurusan undang-undang. Tidaklah dia rasa ditindas seperti sekarang. Kerana kursus perniagaan yang diambilnya ini menyebabkan dia banyak bertolak-ansur dengan Ammar. Seperti peniaga dan pelanggan. Hairan pula dia dengan sikap diktator Ammar yang menggila. Menyinga tak bertempat. Di kuliah bukan main tersenyum simpul, sebaik sampai di rumah bagai ada magnet yang menarik kedua bibir Ammar supaya masam mencuka.

"Hari ni kau kena ke sana lagi ke?" 

"Mungkin tak" Tukas Ilham

"Elok le tu, Tuan Haji Shahzan mintak kita hantar group proposal esok juga. Malam ni boleh kita discuss before finalize our proposal."

Tiba-tiba deringan telefon Ilham menganggu perbualan mereka. Bingkas Ilham mencapai dari poket beg galasnya yang lusuh.

"Hello..Assalamualaikum". Melihatkan nama pemanggil yang tertera di skrin telefon mendebarkan hati Ilham. Apakah lagi yang diinginkan Ammar hari ini.

Terangguk-angguk Ilham seperti kebiasaannya. Mastura di sebelahnya seolah-olah dapat meneka siapa pemanggil bertuah tersebut. Sebaik ganggang diletakkan, Ilham menjungkitkan bahunya.

"Haa... nak bagitahu bos kau panggil duty lagi lah tu malam ni!!! Habis la proposal kita minah oiii"

"Tak apa..tak apa, kau bagitahu aku apa yang perlu, aku siapkan malam ni juga dan hantarkan kepada Tuan Haji Shahzan esok"

"Kau ada masa ke nak buat? Mana nak menyapu la, masak la, mop la"

"Aku kata tak apa. Aku stay-up la malam ni"

"Bagus juga camtu. Leh aku wat kerja Prof Osman malam ni. Nanti dah siap aku bagi kau tengok"

"Ok. Kira satu-sama la kita ni"

"Bos kau tu ada anak jantan nak direkemen kat kau agaknya. Itu yang makin kerap suruh ke sana"

Ilham terkedu mendengar serkap jarang Mastura yang hampir terkena batang hidungnya. Ilham khuatir gesaan dan soalan Mastura akhirnya menjerat Ilham dan akhirnya terpaksa membongkar rahsia yang dikejap erat selama ini. Andainya Mastura tahu, apakah penerimaannya terhadap rahsia itu?


(bersambung...)









L

1 comment:

  1. Salam...

    Mana sambungan citer ini...
    best ar...
    sambung ar lg..sambung ar...
    nk baca..
    plis..

    ReplyDelete