Thursday, June 28, 2012

Hati-hati semasa memilih rawatan

Dalam determination kita untuk mencuba semua rawatan yang ada, kadang-kala kita perlu berhati-hati takut tersilap langkah dan akhirnya mempertaruhkan akidah dan keimanan kita kepada Allah S.W.T.


Saya pernah disyorkan mencuba rawatan alternatif beberapa pengamal perubatan tradisional. Seboleh-bolehnya kita tidak ingin mengecewakan dan mengecilkan hati rakan-rakan dan saudara-mara yang mengesyorkan tempat itu dan ini. Saya tanyakan dahulu, apa kaedah yang mereka gunakan? Apa yang perlu saya bawa? Apa pengerasnya? Kemudian barulah saya buat keputusan sama ada ingin pergi atau tidak.


Kalau disuruh membawa air mineral sahaja, dan pengamal perubatan alternatif adalah seorang ustaz, insyaAllah saya jejakkan kaki ke sana. Selebihnya, saya akan katakan kepada mereka 'insyaAllah, nanti saya pergi'. 


Namun begitu, pernah terjadi suatu ketika saya berjumpa seorang 'ustaz' yang pernah keluar di TV9 sebagai seorang pengamal perubatan Islam. Dengan susah payah saya dan seorang sahabat pergi ke tempat tinggalnya di Taman Dato' Harun semata-mata ingin berjumpa beliau. Ketika saya tiba, beliau tiada di rumah kerana sedang mengubatkan seseorang di luar kawasan. Saya, suami serta seorang sahabat yang senasib dengan saya dengan sabar menunggu beliau pulang. 


Sebelum bertemunya, saya disuruh membawa bersama 40 biji limau nipis, sebotol cuka dan 1 lagi bahan yang saya terlupa apakah dia. Persepsi pertama bertemunya, hati saya terdetik 'betul ke ni?'


Dengan usia yang saya kira dalam lingkungan 20-an, mungkin saya sedikit prejudis sekiranya saya menganggap ilmunya tak seberapa. Saya hapuskan buruk sangka , mungkin beliau memang berkemampuan mengubat pesakit. Kemudian, saya terganggu pula dengan keadaannya berpakaian. Jeans comot hampir terlondeh kerana tubuhnya yang besar dan berbaju t-shirt serta bersongkok haji. Saya sabarkan juga hati.


Saya dan suami serta sahabat tadi disuruh masuk ke bilik rawatan yang menempatkan sebuah tilam dan rak yang dipenuhi ubatan tradisional serta set-set bekam. Saya dan sahabat disuruh duduk berlunjur dengan tangan saya memegang bahu sahabat saya, serta tangan pengamal perubatan itu ditekan ke kepala sahabat saya. Ayat rukyah dibaca olehnya.


Sungguh, sepanjang bacaan ayat-ayat rukyah tersebut, hati saya tidak tenteram. Ingin saya tamatkan disitu juga sesi itu, bukan kerana sesuatu sedang merasuk saya, namun saya terkejut dengan bacaan tajwidnya. Maaf kiranya saya mengaibkan beliau. Tetapi itulah yang sebenarnya berlaku. Saya amat pasti bacaan surah lazimnya banyak silap di sana sini dan sebutan makhrajnya juga lari.


Sebaik tamat sesi, soalan diajukan kepada sahabat saya tadi. 'Puan rasa sakitkah? kalau sakit bermakna ada suatu gangguan di dalam tubuh puan.' Sahabat saya menjawab dengan lancar,'sakit..sakit sebab ustaz tekan kepala saya kuat sangat.' Saya dan sahabat serta suami saya turut tergelak dengan jawapan selamber itu.


Sebaik keluar dari rumah itu, jirannya melihat kami dengan 'suatu' bentuk pandangan yang sukar saya fahami.
Berjalan menuju ke kenderaan kami, sang sahabat akan bergerak pulang ke Klang manakala saya pulang ke rumah bersama suami. Soalan saya kepada sahabat tadi,


"Kak, akak percaya?"
...
"Entah. Macam berterabur je dia baca. Silap-silap jin pulak kena betulkan bacaan dia"


Jawapan sahabat itu membuatkan kami bertiga sama-sama ketawa. Keluar di kaca TV juga tidak membuatkan ustaz itu benar-benar sahih seorang 'ustaz' yang dapat membantu kita. Wallahualam.


I: Limau itu saya buat teh O ais limau, dan cuka itu hingga kini (3tahun berlalu) masih ada di dalam simpanan dan tidak digunakan. Sejak kejadian itu, lebih-lebih lagi saya berhati-hati memilih rawatan alternatif. Jangan mudah percaya perkara khurafat dan syirik. Khuatir boleh terbatal iman kita kepada Allah. Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada amalan-amalan atau kepercayaan yang membawa kepada murtad. Nauzubillah!

No comments:

Post a Comment