Friday, June 22, 2012

Perjalanan menggapai impian

Seingat saya, telah pelbagai cara dilakukan sebelum saya melalui prosedur IVF dalam menggapai impian memperolehi zuriat. Yang mana serba sedikit saya masih ingat, saya titipkan di sini. Mungkin ada di kalangan sahabat-sahabat yang pernah melakukan lebih daripada ini, maka bolehlah sama-sama kita kongsikan pengalaman kalian ya!


Sebelum didiagnos dengan masalah Hidrosalpinx, kebanyakan masanya saya mengambil makanan tambahan dari pelbagai jenama. Dari teknik penjagaan makanan dan kesihatan, urutan, dan akhirnya saya mencuba kaedah moden.


1. Biodex


Siapa tak kenal dengan supplement ini kan. Boleh dikatakan meluas rakan-rakan senasib memperkatakan tentang produk ini. Tak terkecuali pakcik makcik, jiran tetangga dan sahabat handai yang 'gatal mulut' menasihatkan kita mencuba produk ini kerana glamournya keluar di kaca TV. Saya sempat mengambil produk ini untuk tiga set. Setiap set untuk suami dan isteri kosnya kira-kira RM400 untuk 2 minggu. Saya berhenti mengambil produk ini apabila salah satu daripada lesen produknya ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Hairan bukan?


2. Dr. Philip Kohler/Michelle Lazar


Produk ini asalnya saya ambil bagi mengatasi masalah kulit muka yang semakin kusam, berjerawat dan meninggalkan parut. Ketika itu pula saya rasakan saya sanggup berhabis berapa sahaja kerana jiwa sedang rusuh diperlakukan suami. Saya menyangkakan Dr.Philip Kohler ini sememangnya seorang doktor pakar merawat kulit, rupa-rupanya ia merupakan satu jenama. Selain produk kulit, saya ditawarkan cecair supplement dengan 'gula-gula' bahawa kebanyakan masalah kesuburan dapat diatasi dengan produk minuman daripada jenama tersebut. Setelah menggunakan selama 6-8 bulan, saya berhenti mengambil kedua-dua produk kulit dan kesihatannya kerana merasakan tiada sebarang perubahan berlaku. Mungkin sedikit parut di wajah semakin pudar, tetapi kulit saya yang saya sendiri sedia maklum mudah imun pada setiap produk yg saya gunakan.


3. Jamu Makjun Anggun Bestari (MAB) Dan Makjun Unta untuk suami


Makjun ini boleh menjadi pil perancang dalam pada masa yang sama boleh juga merawat masalah dalaman wanita. Ia dipercayai boleh mengeluarkan sisa-sisa  haid yang lama, mengetatkan vagina serta menghilangkan keputihan. Saya rasa kemujaraban makjun ini terletak pada peningkatan dalam kehangatan hubungan suami isteri. Suami turut memuji dan merasa perubahannya. Haid semakin teratur dengan amalan mengambil makjun ini. Saya mengambilnya selama tiga bulan berturut-turut bagi memperbaiki hubungan suami isteri. Makjun Unta saya hadiahkan untuk suami, tetapi suami jenis tidak konsisten mungkin kerana itu kemujarabannya tidak dapat dikenalpasti.


4. Pil herba Maharani keluaran Hai-O Marketing


Di kedai ubat cina ada turut dijual 'pil mutiara' ini. Jenama sahaja berbeza. Asalnya saya tidak tahu yang dijual di kedai ubat cina adalah yang sama seperti Pil Herba Maharani ini. Ini kerana seorang Nyonya telah menuliskan nama ubat ini di dalam bahasa Cina dan menyuruh saya mendapatkannya di kedai ubat SingSe. Setelah dibeli, baru saya sedar bahawa ianya sama seperti pil Maharani yang saya beli dari dealer Hai-O. Ada sahabat yang memakan sebutir halus pil ini, padahal cara sebenarnya ialah menelan 1biji atau sekurang-kurangnya separuh biji (mengandungi berpuluh-puluh butiran kecil pil) setiap pagi selepas makan. Di dalam kotak Pil Herba Maharani terdapat enam kotak yang cantik-cantik. Cukup untuk bekalan selama enam hari sahaja. Saya ambil untuk dua kotak. Kemudian saya berhenti mengambilnya kerana suami tidak tahan 'kesan' ubat itu kerana hampir setiap hari saya 'ganggu' tidurnya. Faham-faham sendiri lah! Saya juga terkejut dengan perubahan 'keinginan' itu, patutlah namanya Maharani.


5. Korset Beautiful keluaran Hai-O Marketing


Korset ini saya ambil dengan harga yang cukup murah. Secara kebetulan ada dealer yang ingin menjual set baru cukup murah, entah kenapa. Saya ambil atas dasar ingin menghilangkan sakit bahu dan belikat saya dengan harapan hilangkah kesakitan itu. Namun, akhirnya hampa kerana sakit pinggang saya tetap begitu. Seorang dealer di pejabat tak habis-habis promote suruh saya beli dengan 'gula-gula' ianya boleh membantu mendapatkan zuriat.Sedikitpun saya tidak percaya! Sama seperti pembelian BioAura, saya selalunya membeli kerana membantu mereka-mereka yang terdesak untuk menjual atas tuntutan bayaran balik pinjaman daripada pihak bank yang mereka tidak dapat dilunaskan.


6. Buah Zuriat


Buah ini saya kirim dari pakcik yang pergi mengerjakan haji. Kepulangannya bukan sahaja berbekalkan tiga biji buah zuriat, malah dibekalkan juga serbuk kurma. Terima kasih Pakcik! Buah ini cara penyediaanya perlu dikupas kulit luarnya sehingga hilang semua sabut, direbus sebiji (jangan dibelah) dengan jumlah air rebusan menjadi separuh daripada jumlah asal. Warna air rebusan bertukar keunguan seperti air ribena. Buah tersebut boleh direbus beberapa kali sehingga hilang rasa dan warnanya.


7. Serbuk Kurma dan Madu


Penyediaannya mudah. Campurkan sebotol serbuk kurma dengan 1kg/1liter madu asli dan dikacau. Agak sukar untuk menjadikan kedua-dua madu dan serbuk kurma ini sebati kerana tekstur serbuk kurma yang lebih ringan dan halus, manakala madu pula berat. Setiap kali ingin dimakan, campurkan dengan susu kambing. Kalau malas seperti saya, saya campurkan sahaja dengan susu tepung instant suam-suam dan diminum setiap pagi dan malam. 


8. Air rebusan beras dicampur 7 biji kismis
Semasa menanak nasi, lebihkan sedikit airnya. Apabila air telah mendidih, ceduk sedikit ke dalam cawan dan campurkan dengan kismis dengan bilangan ganjil (3,5,7). Sertakan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W sebelum minum.


9. Krim Lumiglow
Sapukan krim ini di sekitar perut dan rahim. Krim ini boleh juga digunakan untuk menghaluskan kulit wajah.


10. Kit Ovulasi
Ovulation Tester kelihatan sama seperti Pregnancy Tester. Kit ini digunakan semasa hampir tempoh ovulasi bagi mengetahui masa yang tepat pengeluaran ovum. Saya sendiri tidak mahir menggunakan kit ini kerana kitaran haid tidak tetap 28 hari. 


11. Termometer mengesan Ovulasi
Catat bacaan suhu badan sebaik bangun daripada tidur setiap hari. Pada hari ovulasi berlaku, suhu badan akan meningkat lebih sedikit. Itu menandakan ovum sudah bersedia untuk dilepaskan. 


12. Kaedah urutan
Kalau di US mereka gelarkan Wurn Technique. Boleh lihat entry ini. Setiap sebulan sekali, atau setiap dua minggu saya akan berurut. Selain melegakan urat-urat saraf, dapat juga membetulkan peranakan. Sasaran untuk melengkapkan 60jam urutan tidak berjaya. 

13. Acupuncture/ bekam
Kaedah ini saya cuba sebanyak 2 kali untuk membuang darah kotor di dalam badan. Tidak rasa sangat kelainan dalam badan, mungkin wanita-wanita tak perlu berbekam darah kerana setiap bulan bukankah kita secara semulajadi membuang 'darah kotor'? Boleh lihat entry ini.


14. Diet sihat
Saya sendiri menghadkan pengambilan kalori dalam menu harian. Pagi hanya makan 3 ketul kuih bersama secawan air panas. Makan tengah hari dikurangkan portionnya. Makan malam saya pastikan sebelum jam 8.00 malam. Kadang kala, saya hanya minum oat pada waktu pagi. Semua ini sebelum saya laksanakan prosedur IVF memandangkan berat semakin bertambah sejak memulakan rawatan secara intensif daripada LPPKN. Mungkin terlalu banyak suntikan hormon telah menaikkan berat saya daripada 45kg kepada 58kg.


15. Dr.Nano Labcell


Sebenarnya selain saya berdiet, saya juga telah mengambil pakej 20sesi Dr Nano daripada groupon dengan hanya RM98. Bersama suami boleh dikatakan setiap minggu kami penuhkan masa untuk ke slimming centre ini. Untuk kesihatan dan menghilangkan stress. Saya berjaya turun 2kg dalam 1 bulan di samping diet sihat dan exercise, manakala suami berjaya turun 4kg. Pakej tidak berjaya dihabiskan kerana saya telah memulakan prosedur rawatan IVF penghujung Februari lalu. Pakej ini termasuk urutan, pelangsingan menggunakan mesin dan krim khas, serta sauna. Oh! Hampir saya pitam sebaik keluar dari kebuk sauna kerana itulah pertama kali saya di'kukus' begitu!


16. Senaman/ Larian atas Penginjak (Treadmill)
Saya survey di mudah.my hampir setiap hari sebelum berjaya membeli threadmill second-hand RM200. Hati gembira tak terkata! Mana mampu nak beli 2ribu-3ribu, sedangkan duit yang dikumpul hanya untuk IVF.


17. Clomid
Pil hormon ini saya makan sebanyak 3 kali kitaran haid sebelum saya ambil keputusan untuk berhenti rawatan di Hospital Pakar Metro. Pada waktu itu, saya masih baru memulakan rawatan kesuburan maka saya belum lagi pergi ke LPPKN yang jauh dari tempat kerja. Saya tahu, untuk mengurangkan kos rawatan, saya perlu berkorban memohon pertukaran tempat kerja yang lebih dekat dengan Kuala Lumpur. Jarak dari Banting-Kuala Lumpur tidak memungkinkan saya untuk berulang-alik nanti. Jabatan meluluskan perpindahan saya ke kawasan Kajang, dari situlah rawatan intensif saya bermula.


18. IUI
Sebaik bertukar kerja ke tempat baru, saya tidak membuang masa lebih lama. Tahun 2010 bulan Mac, kali pertama kaki saya menjejak tangga LPPKN Jalan Raja Laut. Di situlah perjalanan rawatan yang tidak berkesudahan. Dua kali gagal IUI, saya rasakan saya masih bertuah kerana mungkin ada sahabat yang sudah mencuba rawatan IUI untuk kali ke-10! Rawatan IUI kurang cerewet. Ubat hormon yang perlu disuntik juga tidak banyak. Prosedur memasukkan benih suami yang telah melalui proses Sperm Wash juga mudah. Apabila disyorkan oleh Doc.K untuk IUI kali ke-3, saya menolak dengan baik kerana merasakan masalah Hidrosalpinx ini yang menyebabkan kegagalan percantuman benih. Saya tidak menidakkan kuasa Allah. Kalau Dia berkata 'Jadi' maka "Jadilah!". Perasaan tertekan kerana kegagalan itu juga menjadi titik tolak saya berazam untuk mencuba IVF. Saya pernah merasakan kegagalan itu, walaupun saya sedar sekiranya saya gagal IVF kekecewaan itu tidak akan sama seperti kegagalan IUI. Bulan November 2010 adalah kali terakhir saya ke LPPKN sebelum mengambil masa untuk menenangkan diri dan mengumpul dana untuk IVF. Saya tahu kunjungan saya seterusnya perlu dengan keazaman, tawakal, kesabaran dan persediaan mental fizikal yang paling baik!


19. IVF
Kunjungan saya pada Oktober 2011 ke LPPKN adalah hanya untuk sesi kaunseling bersama doktor. Doc.K menerangkan dengan jelas prosedur IVF yang akan memerlukan masa dan kewangan yang 'memenatkan'. Ketika itu pula LPPKN sedang dalam proses penambahbaikan infrastruktur, maka saya diminta datang semula pada tahun 2012. Setelah ulangtahun perkahwinan saya ke-7 pada Februari 2012, saya tahu saya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran ini. Sokongan suami pada saat itu adalah ubat paling mujarab. Daripada seorang yang takutkan jarum dan darah, suami saya berjaya membuang perasaan ngeri dan ngilu apabila beliau sendiri kebanyakkan masanya menyediakan jarum suntikan dan ubat untuk dicucuk ke perut saya. Terima kasih sayang! Saya tahu, ianya mengambil masa yang lama untuk mencapai persefahaman dan komitmen semasa rawatan ini. Suami saya pernah melalui fasa 'tak endah' dan 'tak suka' lebih-lebih lagi pada ketika rawatan itu dijalankan kami sedang dihimpit masalah kewangan. Saya tabahkan hati, saya katakan padanya bahawa saya sanggup menanggung segala kesakitan dan berkorban semua harta saya, saya hanya perlukan sokongan moralnya. Saya perlukan benih darinya. Dia tidak perlu menanggung apa-apa kesakitan. Saya rela tanggung semuanya. Saya inginkan zuriat kami berdua. Akhirnya suami turut berubah menjadi seorang yg optimis dan positif. Saya tahu egonya sedikit jatuh kerana beliau tidak mampu untuk menyumbang dengan baik dari segi kewangan, tetapi saya redha dan tidak meminta-minta diluar kemampuannya. Saya tahu beliau seboleh-bolehnya cuba menanggung keperluan lain yang beliau mampu, membayar parking, makan dan minum kami mujur ada Pakcik Ebay... Cuma saya berharap suami mengenang detik-detik kesusahan ini apabila beliau ditakdirkan berjaya suatu hari kelak. 


Yang paling utama dan penting sebenarnya ialah Solat Hajat/Solat Taubat/Amalan Membaca Al-Quran/ Sedekah. 

I: Sekadar renungan kita bersama. Saya bukan seorang yang hanya akan bercerita peristiwa yang 'manis-manis' sahaja. Inilah hakikat kehidupan saya, ada kegembiraan dicelah kepedihan dan tak selalunya indah. Bersyukurlah kamu dengan apa yang kamu miliki, kerana andai kamu bersyukur Allah akan menambah lagi nikmat kamu! Maafkan saya kerana menulis sejujurnya. 

2 comments:

  1. Salam,
    Saya melalui pengalaman yang sama. Dua minggu lepas adalah IUI yang ke-7 tetapi gagal. Buat masa ni, nak tenangkan diri sebelum buat IVF. Ya, semua ini perlukan kekuatan mental dan fizikal. Tahniah kerana puan tidak pernah berputus asa...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sesungguhnya kamu orang-orang yang terpilih. Moga2 besar pahala Allah kepada kamu Sis, atas kesabaran dan ketabahan kamu. Berdoalah sentiasa kepada Allah hindarkan putus asa dalam diri.. Aminn

      Delete