Wednesday, April 4, 2012

Berhenti sebentar, andai kamu lelah

Hidup ini singkat.
Bukan?

Saat dikandung 9 bulan, kita hanya berpeluang kemudiannya membesar bersama ibu dan ayah paling lama hingga 12 tahun. Saya begitu. Saya tiada homesick, saya belajar berdikari, dengan tubuh kecil keding, saya mengharungi kehidupan 'Nasi Kawah'.

Sehingga berumur 16, saya fikir 'cukup-cukuplah'. Saya sudah memahami berdikari. Saya tak ingin lagi duduk di asrama. Sukar. Belajar menjadi sukar. Dikelilingi rakan-rakan yang bermacam ragam, saya rasa sukar untuk memberi tumpuan. Kemudiannya, saya memujuk Emak dan Abah untuk tinggal di rumah. Saya rela berulang alik 50km setiap hari, keluar sesudah Subuh semata-mata saya dapat tinggal di rumah, menyusun kehendak waktu saya sendiri. Prep jam 2.00-4.30 petang, 9-10.30 malam setiap hari di Study Room selama 4 tahun akhirnya menjengkelkan saya. Asrama pada saya sesuai untuk berdikari, bukan untuk konsentrasi.

Tamat belajar seawal usia 21tahun, saya mula bekerja nun di utara, jauh dari keluarga. Kemudian berkahwin pada umur 24tahun. Mudahnya jalan hidup saya ketika ini. Tiada halangan apa-apa, melainkan gaji yang kecil untuk menyara hidup. 

Cabaran hidup ini sebenar-benarnya bermula sesudah saya mendirikan rumahtangga. Saya belajar tentang kejujuran, keikhlasan, pembohongan, kecurangan, kesakitan di sebalik putik-putik kebahagiaan. Sejak itu, jalan hidup saya penuh liku. Saya belajar erti 'bersendiri' di tempat orang. 

Akhirnya, saya cukup lelah. Saya berhenti seketika. Saya menarik nafas. Saya memikirkan masa depan saya. Saya tinggalkan pekerjaan, saya menyambung pelajaran untuk masa hadapan saya. Masa hadapan yang saya catur untuk hidup saya, tanpa menglibatkan sesiapa.

Saat itu, saya cukup dewasa untuk berfikir dengan matang. Saya lelah, saya berhenti seketika. Saya belajar redha, andai semuanya bukan rezeki saya, maka rezeki di mulut pun akan jatuh ke tanah. If you think your life is running so plain, take a break. Think something that should energize you. Plan, Do, Act. 

Keluar daripada situasi yang membelenggu hidup. Nikmati hidup yang singkat. Andai kamu merasakan hidup terlalu mendatar; pergi kerja-stress-balik kerja-tidur-pergi kerja dan begitulah seterusnya sekarang kamu perlu berhenti. Cari nilai diri kamu yang sebenarnya. Kembalikan tenaga dalam hidup ini.

I: Susun dan atur hidup untuk hidup kita, bukan untuk orang lain. Kerana yang akhirnya merasa bahagia, kita juga, yang merana pun, kita juga.

No comments:

Post a Comment