Thursday, April 19, 2012

Lam Lam Alif Kaf Ya

Memahami kaum Adam bukan tugas kita. Kerana mereka juga bukan ditugaskan untuk memahami kita; Kaum Hawa.


Allah menciptakan kejadian manusia berpasang-pasangan, bermaksud lengkap melengkapi, bukan untuk dipersamakan segala perbezaan, diseiringkan segala keputusan. Oleh kerana itu, kita takkan memahami kaum yang satu lagi, kerana kedua-duanya berbeza, lahiriah dan ruhaniah. Apa yang boleh kita lakukan adalah menerima kekurangan kaum yang satu lagi, seadanya.


Melalui pengalaman hidup yang secebis cuma ini, saya telah berdepan bermacam situasi, atau paling hampir dengan situasi. Saya mempunyai pengalaman seorang sahabat berpacaran dengan suami orang; dengan pengetahuan dirinya dan dia redha. Saya juga berdepan seorang sahabat di ambang keruntuhan rumahtangga lalu mengharapkan secebis kasih dan cinta kaum Adam, dan akhirnya dia dikecewakan lantaran terbongkar dirinya itu seorang suami yang memang kerjanya mempermainkan perasaan kaum Hawa. Saya juga berdepan persoalan kepercayaan seorang sahabat bilamana dirinya bermain kata cinta dengan suami sahabatnya sendiri. 


Dengan tempoh hidup saya yang genap tiga-puluh-satu-tahun kelmarin, serasanya saya sudah berdepan pelbagai bentuk ragam Adam dan Hawa. Namun tak sama seperti pengalaman hidup hari ini, kerana aneh sungguh seorang sahabat ini memikirkan rumahnya diibaratkan 'rumah mayat' , senyap sunyi tanpa suara. Malahan menurutnya, rumah mayat lebih riuh lagi dengan esak tangis saudara, sedangkan dirinya pulang ke rumah, menghadapi kaum Adam 'nan satu' di rumah yang tenang menghadap layar tv, tanpa berkutik untuk memula bicara, apatahlagi bergurau senda.


Dia dan kita terlalu berbeza. Mungkin memang sikapnya begitu, usah bicara tentang zaman bercinta. Itukan madah pujangga, memang lahiriahnya begitu. Entah-entah, hanya kita yang rasa umpama 'rumah mayat' sunyi sepi, sedangkan padanya umpama denai sepi tanpa suara, yang menenangkan hidupnya. Mungkin dia lebih bahagia dengan 'ketenangan' begitu. Siapa tahu?


I: Perbezaan ini kadang kala menyesakkan minda, kerana kita sentiasa ingin tahu. Mengapa? Mengapa? Mengapa?



No comments:

Post a Comment